KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menambah baik pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), yang diperkenalkan sejak 1 April 2015, bagi  menjadikan sistem percukaian itu lebih efisien, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, antara cadangan penambahbaikkan adalah memperketatkan aspek penguatkuasaan bagi mengesan peniaga yang cuba mengelak daripada membayar GST.

“Kita tidak akan ubah sistem ini tetapi kita akan perbaiki banyak benda agar ia lebih efisien, baik bagi kerajaan dan baik bagi generasi akan datang.

“Kita kena buat penguatkuasaan yang begitu teliti dari segi pembayaran GST kerana ada peniaga yang berdegil dan cuba lari daripada membayar GST sedangkan ia tidak adil buat peniaga dan rakyat yang membayar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lembah Pantai di sini hari ini.

Johari berkata demikian semasa mengulas tindakan pembangkang yang berterusan memainkan isu GST dan menabur janji akan memansuhkan GST, bagi meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-14.

Dalam pada itu, beliau yakin BN akan dapat merampas semula kerusi Parlimen Lembah Pantai yang disandang Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berdasarkan maklum balas daripada komuniti setempat, selain komitmen padu yang ditunjukkan BN.

Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika ditemui pemberita, menawarkan diri sebagai calon kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak kerana berasa bertanggungjawab atas kekalahan lepas.

“Perjuangan saya belum lagi selesai sebab dahulu saya gagal peroleh kerusi Lembah Pantai… untuk PRU kali ini, saya mendapat sokongan daripada akar umbi dan pengundi juga mahukan saya kembali dicalonkan.

“Walaupun kita perlu pastikan kita menang dan yakin dengan kekuatan jentera kita kali ini tetapi jangan pandang senang meskipun sekiranya bersaing dengan pencabar yang tidak dikenali… kali ini BN ‘underdog’ di Lembah Pantai,” katanya.

Pada PRU13, Nurul Izzah menewaskan Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yakin program Assisted Compliance Assurance Programme (ASAP) yang bakal diperkenalkan tahun depan, dapat melatih firma-firma yang boleh membantu dari segi pematuhan terhadap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
  • KUALA LUMPUR - "Kerajaan belum bercadang untuk mengubah kadar perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang ditetapkan pada enam peratus," kata Kementerian Kewangan.
  • KUALA LUMPUR - Isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) terus hangat dibahaskan dalam sesi penggulungan perbahasan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan sedang menyiasat punca beberapa syarikat yang menutup perniagaan mereka pasca perlaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
  • SHAH ALAM - Sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) dianggap lebih adil dan dapat mengelak peniaga melakukan manipulasi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.