KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan kononnya vaksin atau imunisasi untuk bayi mengandungi bahan-bahan haram dan membahayakan nyawa.
   
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua agensi itu turut menafikan program imunisasi kerajaan itu sejak 1950-an bertujuan melemahkan umat Islam.
   
"Kementerian Kesihatan dan Jakim menasihatkan seluruh masyarakat tidak terpengaruh dan percaya dengan berita-berita yang disebarkan dalam pelbagai saluran media oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
   
"Sekiranya timbul keraguan atau perlukan pengesahan, elok rujuk kepada pihak berkuasa supaya penyebaran isu-isu seumpama itu tidak menimbulkan kegelisahan kepada masyarakat seluruhnya," demikian menurut kenyataan itu.
   
Semua vaksin berkenaan didaftar di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan dinilai mengikut keperluan piawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Kenyataan itu berkata kesan sampingan akibat imunisasi selalunya adalah ringan dan tidak berbahaya berbanding kesan jangkitan penyakit itu sendiri dengan kesan sampingan yang kerap dilaporkan adalah demam dan sakit di tempat suntikan.
  
"Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan sentiasa memantau kesan sampingan akibat imunisasi di semua fasiliti kesihatan. Sehingga kini, tiada tindakan regulatori terhadap vaksin akibat kesan sampingan," jelas kenyataan itu.

Dari sudut pandangan syarak, kenyataan itu menjelaskan, imunisasi yang merupakan jalan pencegahan adalah perkara yang dituntut dalam Islam sesuai dengan kaedah usul fikah.
  
"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak 1988 telah mengeluarkan beberapa pandangan hukum berkaitan langsung dengan imunisasi yang seharusnya menjadi panduan seluruh umat Islam," demikian menurut kenyataan itu.
  
Tambah kenyataan itu, maklumat lanjut mengenai penggunaan vaksin dari sudut syarak tersebut boleh didapati di portal e-Fatwa iaitu www.e-fatwa.gov.my  - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mohon perkenan untuk mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung isu Pegawai Kader Jakim, Dr Zamihan Mat Zin.
  • BANGI - Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha mengingatkan pegawai dan bekas pegawainya menjaga imej jabatan itu walau di mana sahaja agar institusi keagamaan tersebut dihormati masyarakat.
  • SUNGAI BESAR - Wartawan Sinar Harian menafikan dakwaan mengeksploitasi kenyataan dan gambar seorang wanita warga emas yang tular di media sosial sejak semalam.
  • MELAKA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan Jabatan Agama Islam seluruh negara menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau Indeks Syariah negeri masing-masing agar penilaian prestasi pentadbiran negara daripada perspektif Maqasid Syariah lebih mudah difahami.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan agar masjid dan surau mengadakan solat hajat Jumaat ini bagi mendoakan agar isu Rohingya tidak berpanjangan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.