KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berjumpa dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia, Rabu ini, bagi membincangkan pelaksanaan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, isu tersebut juga akan dibawa ke Kabinet dan jika ia diluluskan, pelancaran bagi skim tersebut akan dibuat.

Begitupun, beliau enggan berkongsi memberi butiran lanjut berhubung skim tersebut dan meminta wartawan untuk menunggu ‘kejutan’ daripada kementerian.

“Kita tak panggil skim ini sebagai Skim Peduli Sihat tapi kita akan panggil sebagai Skim Perlindungan Kesihatan Nasional yang kita rumuskan bersama Kementerian Kewangan dan Bank Negara.

“Saya tidak akan beri apa-apa butiran dan tunggu pelancaran dan semua itu saya akan jawab pada waktu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 1st Malaysia Men’s Health Conference di Universiti Malaya, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya bilakah pelancaran itu akan dibuat, Dzulkefly menjelaskan tarikh belum diputuskan selagi tidak dapat kelulusan Kabinet.

“Tidak ada satu tempoh masa jelas tapi kita berada di ambang 100 hari dan andainya Kabinet lulus, kita akan adakan pelancaran.

“Kita tak panggil Skim Peduli Sihat sebab itu di negeri Selangor. Skim itu adalah skim rawatan asas tapi skim dari kementerian berbeza.

“Ada beberapa elemen yang akan ditambah. Saya tak boleh kongsi lagi cuma tunggu dan lihat masa pelancaran nanti,” ujarnya.