PUTRAJAYA - Satu kebakaran kecil berlaku di IOI City Mall di sini melibatkan sebuah premis kesihatan dan penjagaan diri di aras bawah kompleks beli-belah itu pagi tadi.

Ketua Promosi dan Pengiklanan IOI City Mall Joyce Chew berkata, kebakaran yang berlaku kira-kira 10.30 pagi itu bagaimanapun dapat dikawal menerusi pemercik.

Sebaik kejadian, pihak pengurusan melakukan pengungsian melibatkan kira-kira 300 pelanggan dan pekerja, selaras dengan prosedur keselamatan pusat beli-belah itu, katanya dalam kenyataan,

“Tiada kecederaan dilaporkan dan operasi pusat beli-belah bersambung semula kira-kira 11.30 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya Izman Adnan yang mengesahkan kejadian berkata siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta anggaran kerugian. - Bernama