KUALA LUMPUR - Atas dasar patriotisme dan cintakan negara, seorang rakyat Malaysia melancarkan laman sesawang bagi mengumpul dana membantu meringankan bebanan hutang negara berjumlah RM1 trilion.

Pegawai Undang-undang, Nik Shazarina Bakti,27, berkata, inisiatif ini bermula atas sebab patriotisme.

"Umum mengetahui bahawa hutang negara terkini ialah RM 1 trillion. Saya bersama keluarga dan rakan- rakan sering berbincang tentang cara mengurangkan hutang negara, namun ia cumalah perbualan santai dan imaginasi kami.

"Tetapi pada hari Rabu lepas, terdetik idea ini untuk mengumpul wang dengan sumbangan seluruh rakyat Malaysia untuk menolong kerajaan, melalui 'fundraising platform'," katanya kepada Sinar Harian.

Nik Shazarina berkata, beliau sering membaca di akhbar luar negara tentang inisiatif seperti ini jika mereka menghadapi masalah kesihatan, bencana alam atau untuk penambahbaikan komuniti setempat (seperti pembinaan sekolah, membaiki paip air atau jalan).

"Jadi saya sebagai rakyat Malaysia, tercetus idea ini.

"Kemudian terus mengambil kesempatan ini dengan pertolongan keluarga, rakan- rakan dan juga Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin dan aktivis masyarakat, Datin Paduka Marina Mahathir," ujarnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kebenaran tersingkap dalam isu ‘hutang RM1 trilion’]

Beliau menjelaskan,golongan sasaran untuk projek ini melibatkan seluruh rakyat Malaysia.

"Golongan sasaran saya untuk bersama mengumpul dana ini ialah seluruh rakyat Malaysia, tidak kira agama, bangsa, latar belakang ataupun umur.

"Saya lakukan ini supaya rakyat Malaysia yang lain yang mempunyai misi yang sama dengan saya boleh menyumbang untuk menolong negara kita," tegasnya.

Nik Shazarian bercadang akan menyampaikan hasil kutipan daripada kempen ini kepada Kementerian Kewangan supaya ia dapat disalurkan untuk meringankan beban rakyat.