PETALING JAYA - Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menerima notis guaman daripada Shafee & Co pada 23 April lalu meminta beliau menarik balik kenyataan dan memohon maaf berhubung dakwaan skandal membabitkan pemberian wang yang banyak daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada artis, Zahida Mohamed Rafik.

Menurutnya, surat yang sama turut diterima bekas pemandu peribadi Zahida, Noor Azman Azemi yang mendedahkan mengenai perkara itu dalam satu laporan polis yang dibuat pada 13 Mac lalu.

Namun, Zuraida berkata, pihaknya tidak akan menarik balik kenyataan itu sebaliknya masih menunggu jawapan Shafie sejak pendedahan mengenai perkara itu dibuat bulan lalu.

“Noor Azman dan saya menerima surat yang sama. Yang peliknya, surat saman dari pihak Shafee & Co itu daripada Zahida, bukan daripada Shafie.

“Sejak perkara ini didedahkan, Shafie tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menjelaskan secara terperinci dari mana datangnya wang sebanyak itu dan kami masih menunggu jawapan daripadanya. Jadi, kita gesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasat perkara ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

semalam.

Turut hadir, ibu saudara Noor Azman yang juga seorang selebriti, Dayangku Intan Tengku Hamid, bapa saudaranya, Rosman Yahil, peguamnya, Latheefa Koya, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan peguam PKR, Sivarsa Rasiah.

Zuraida berkata, PKR tidak tertarik mengenai isu membabitkan hubungan antara Shafie dan Zahida, sebaliknya ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai status wang yang diberikan kepada artis itu.

“Bagaimana dia boleh beri dalam jumlah yang banyak, RM100,000 hingga RM200,000 setiap minggu sebagaimana didakwa? Rakyat mahu tahu perkara sebenar dan beliau perlu tampil menjelaskan mengenai perkara itu.

“Nama Noor Azman yang sebelum ini dituduh melarikan wang Zahida sebanyak RM200,000 juga perlu dibersihkan,” katanya.

Menurut Noor Azman,  terdapat beberapa individu tidak dikenali mengganggu keluarganya selepas dia keluar reman pada 16 Mac lalu.

“Selepas saya buat laporan polis berkenaan dakwaan Zahida, saya direman. Ketika reman, saya disoal dengan soalan yang tidak masuk akal. Selepas keluar reman, keluarga saya pula diganggu.

“Kami sekeluarga tidak tahan menerima gangguan sehingga ada yang memecah masuk kediaman kami untuk mencari sesuatu. Mereka juga menunggu di hadapan kediaman sehingga jam tiga, empat pagi,” katanya.

Noor Azman ketika ditanya mengapa kini baru mendedahkan perkara itu, berkata, beliau sudah tidak sanggup untuk ‘berlakon’ dan menyimpan rahsia peribadi yang menyebabkan hidupnya berada dalam tekanan.

“Mereka akan berjumpa sekurang-kurangnya seminggu sekali di mana-mana hotel sekitar ibu negara. Setiap kali bertemu, Shafie akan memberi wang tunai dan jumlah yang paling besar pernah Zahida terima ialah RM1 juta tahun lalu.

“Sepanjang tiga tahun menjalankan tugas itu, saya tidak pernah membawa wang tunai yang diberi Shafie bersendirian, setiap kali melakukan transaksi, Zahida ada bersama saya,” katanya.

Menurutnya, perkara itu didedahkan sebulan sebelum beliau memohon untuk berhenti kerja pada 29 Februari lalu.

Dalam laporan sebelum ini, Zahida dan Shafie menafikan dakwaan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang bertanggungjawab menyebarkan perkara itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat dakwaan bahawa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal mampu memberi wang tunai dalam jumlah yang banyak kepada artis Zahida Rafik.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.