• Dr N Umadevi Dr N Umadevi
1 /

RAKYAT Malaysia paling ramai menghidap skizofrenia iaitu sejenis penyakit mental warisan yang berlaku akibat gangguan kimia dalam otak.

Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK),  Dr N Umadevi  berkata, jenis yang kedua ialah bipolar.

Katanya, ini berdasarkan jumlah kehadiran pesakit yang datang untuk rawatan  di HBUK atau lebih dikenali Hospital Tanjung Rambutan, Perak.

Memperincikan ciri penyakit mental paling kronik menyerang rakyat Malaysia itu, Dr Umadevi berkata, otak seseorang  yang terganggu oleh bahan kimia iaitu dophamine berlebihan, boleh  menyebabkan penyakit skizofrenia.

Menurutnya, dari segi tingkah laku, pesakit skizofrenia misalnya akan mengadu bahawa orang lain tidak suka kepada dirinya, sentiasa syak wasangka, suka memencil diri dan enggan bergaul dalam masyarakat.

“Mereka tidak terurus dan selalu mengalami halusinasi atau delusi seperti mendengar suara ghaib dan bisikan-bisikan, seolah-olah ada seseorang sedang bercakap mengenainya.

“Apabila pesakit mengalami tekanan dan tidak tahan dengan bisikan-bisikan itu, mereka akan bertindak agresif seperti menyerang orang lain kerana beranggapan mangsa mengata diri pesakit,” kata pakar berkenaan.

Sementara bipolar penYakit keturunan yang mana pesakit akan mengalami dwipolar (dua perasaan) iaitu  terlalu gembira atau terlalu sedih.

“Apabila pesakit terlalu gembira, mereka akan banyak bercakap dan sukar berhenti sehingga dia menjadi terlalu letih.

“Rentetan keletihan itu, pesakit tidak boleh tidur tetapi muncul semangat dan tenaga sangat tinggi.

“Berdasarkan pengalaman saya misalnya, pernah ada pesakit berjalan kaki dari Tapah ke hospital ini sehingga kakinya bengkak. Tetapi pesakit langsung tidak berasa letih. Keadaan seperti ini, kita panggil ‘mania’ kerana pesakit terlalu gembira dan seronok.

“Sementara jika pesakit terlalu sedih, ia dipanggil sebagai ‘depression’ yang mana mereka yang mengalaminya sentiasa menangis, memencilkan diri, rasa bersalah dengan apa yang pernah dilakukan sebelum ini walaupun perkara itu terlalu remeh-temeh.

“Ada kalanya, mereka ini mahu membunuh diri, tidak mahu bekerja atau tidak mahu makan dan sebagainya,” jelas beliau mengenai ciri-ciri skizofrenia dan bipolar yang sedang menular dalam masyarakat moden kita hari ini.  

Dr Umadevi berkata, selain bimbang kepada dua jenis penyakit mental itu, berdasarkan jumlah kehadiran pesakit secara sukarela di HBUK, turut menunjukkan pesakit mental semakin kronik dan  sekali gus bermakna rakyat di negara ini ramai sedang bermasalah kesihatan mental.

Malah beliau tidak menafikan bahawa sakit mental menjadi penyakit global pada masa depan kerana masyarakat semakin banyak terdedah dengan stres melampau.

“Pada masa depan, saya percaya lebih ramai pesakit akan berjumpa pakar psikiatri akibat stres dan kemurungan. Kemudian, penyakit kerisauan atau ‘anxiety disorder’ iaitu seseorang yang sentiasa gelisah, panik dan gugup.

Begitu juga ‘sustance induced disorder’ iaitu penyakit yang disebabkan oleh pengambilan dadah, gam dan alkohol.

“Seperti kita maklum, sakit mental boleh disebabkan keturunan, gangguan bahan kimia dan kemalangan akibat hentakan kuat.  

Katanya, perlu diingat bahawa penyebab paling tinggi penyakit mental di Malaysia adalah akibat gangguan bahan kimia dalam otak terutama individu yang mengalami stres atau tekanan melampau.

“Saya beri contoh, seorang ayah terpaksa bekerja untuk isteri dan anak-anaknya. Ketika di tempat kerja, si ayah perlu beri perhatian  100 peratus dan begitu juga  di rumah. Kemudian keadaan di mana anak-anak sakit yang akhirnya mendatangkan stres.

“Lelaki pula biasanya malu untuk meminta pertolongan dan mereka cuba mencari penyelesaian sendiri seperti menghisap rokok, minum alkohol dan mengambil dadah.

“Selain stres, pengambilan dadah terutama dadah sintetik seperti syabu secara kerap dan berterusan juga antara faktor penyebab seseorang itu sakit mental khususnya golongan muda. Begitu juga penghisap gam kerana kandungan phencycledine iaitu sejenis perangsang yang boleh merosakkan otak," katanya.

Begitu malang apabila negara kita diserang oleh pesakit skizofrenia dan bipola kerana penyakit mental seperti itu atau juga penyakit lain sesungguhnya tidak boleh sembuh sebetulnya tetapi hanya boleh dirawat dan dikawal menggunakan ubatan serta kaunseling.

Bayangkan keadaan Malaysia hari ini dan dibimbangi keadaan akan menjadi buruk sekiranya ramai yang terlibat dadah berikutan dadah memberikan implikasi lebih teruk dan menyebabkan ia lebih sukar untuk dirawat.