SHAH ALAM - Tindakan kerajaan yang bakal memberi pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) akan menyebabkan sistem pendidikan negara menjadi kelam-kabut.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa berkata, tidak mustahil selepas ini lebih banyak NGO pendidikan akan mendesak kerajaan memberi pengiktirafan kepada sijil peperiksaan yang diwujudkan.

Katanya, ini kerana UEC hanya dikelolakan oleh Dong Zong yang merupakan NGO sama seperti GPMS sendiri.

“Jika kerajaan memberi pengiktirafan kepada UEC yang hanya dikelolakan oleh NGO, maka tidak mustahil selepas ini akan ada NGO lain turut mewujudkan sijil peperiksaan sendiri dan seterusnya mendesak kerajaan untuk memberikan pengiktirafan agar pelajar-pelajar itu boleh masuk ke universiti awam.

“Kalau UEC boleh, kenapa tidak NGO yang lain. Malah GPMS pun boleh berbuat sedemikian dengan wujudkan sijil peperiksaan untuk khas untuk pelajar-pelajar Melayu,” katanya pada program FBLive Sinar Harian, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN : Rancangan iktiraf UEC akan diteruskan]

Mengulas lanjut, beliau berkata, sudah tiba masanya UEC kembali kepada dasar pendidikan negara memandangkan pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut adalah warganegara Malaysia.

“Silibus yang dibuat UEC itu diciplak dari Taiwan dan China padahal yang menduduki peperiksaan itu adalah warganegara Malaysia, jadi mengapa tidak mahu melebihkan soal pendidikan kebangsaan.

“Malaysia adalah milik kita semua dan di sinilah rumah kita dan kenapa kita perlu melebihkan negara lain, sedangkan negara itu pun tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara,” katanya.