SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengarahkan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mengeluarkan 40 tan ikan sejuk beku (Q-Fish) untuk dijual di pasar tani seluruh negara bagi mengimbangi kenaikan harga ikan ketika ini.

Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata ikan itu akan dijual pada harga siling tidak melebihi RM10 sekilogram bagi ikan rakyat antaranya seperti ikan cencaru, pelaling dan kembung.

Katanya Nekmat juga diarah mengimport sebanyak 20 tan ikan rakyat dari Sri Lanka, Bangladesh dan Pakistan selain meneruskan penguatkuasaan larangan mengeksport ikan rakyat oleh syarikat tempatan sehingga akhir Februari ini.

"Fenomena monsun dan hujan lebat di utara semenanjung tanah air yang mengakibatkan laut bergelora dengan kuat kita jangka akan berterusan sehingga akhir Mac ini, berikutan itu jumlah pendaratan ikan berkurangan menyebabkan harga meningkat.

Selepas musim monsun ini berakhir bekalan dan pendaratan ikan dijangka akan kembali seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas perasmian Masyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Selangor di sini hari ini.

Irmohizam berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar berhubung kenaikan harga ikan segar di pasaran tempatan terutama di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata LKIM juga telah mengarahkan agar ikan Q-Fish dijual  hanya di pasar tani  bagi membolehkan Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan mengawal harga ikan.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Presiden Majlis Belia Malaysia Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMAMAN - Kekurangan ikan kembung di jeti pendaratan di seluruh negara menyebabkan harganya tidak stabil dan sedikit mahal sejak akhir-akhir ini, kata Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
  • KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mencari mekanisme sesuai untuk menyelaraskan harga ikan dalam pasaran pada harga berpatutan.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 145 tan metrik stok ikan sejuk beku diaktifkan dan mula diedar bagi mengimbangi kekurangan bekalan ikan di seluruh negara berikutan musim tengkujuh.
  • KUALA ROMPIN - Sekatan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengeksport tujuh jenis ikan keluar negara bermula 1 Disember hingga akhir Februari tahun depan adalah tepat bagi memenuhi permintaan rakyat golongan sasar di negara ini.