KODIANG -  Kerajaan tidak ada keperluan untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan sudah mempunyai dasar-dasar yang mewujudkan keamanan semua masyarakat.

Menurutnya, kerajaan tidak perlu meminjam dasar dari negara asing yang tidak mengambil kira persekitaran yang wujud dalam negara kita.

"ICERD ini perlu dinilai sedalam-dalamnya, kerana kita tidak mahu sesuatu yang akan melanggar Perlembagaan Persekutuan, dan kalau kita faham tujuan ICERD ialah untuk memberi kesamarataan bagi masyarakat minoriti," katanya kepada media selepas majlis penyerahan bantuan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi dalam Perlimen Jerlun, di sini hari ini.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, situasi di Malaysia juga tidak sama dengan asas kewujudan ICERD itu sendiri.

"Negara kita ini mempunyai satu keadaan yang agak unik, pihak yang agak terpinggir dari arus pembangunan perdana adalah masyarakat majoriti.

"Oleh itu, golongan majoriti itu mestilah diberi pertimbangan sewajarnya dan ianya sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka tidak semudah itulah kita meratifikasikan cadangan ICERD," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu melakukan pelbagai pertimbangan sebelum mengambil sebarang keputusan terhadap ratifikasi ICERD.

Kerajaan perlu melakukan perkara demikian kerana kesesuaiannya untuk dilaksanakan di negara ini perlu diambil kira.