SHAH ALAM - Harga pasaran RON95 bagi dua minggu pertama Disember 2014 jatuh di bawah paras RM2 seliter, jika ia dikira menggunakan formula yang diumumkan oleh kerajaan.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sebelum ini kerajaan mengumumkan harga RON95 bagi sesuatu bulan ditetapkan berdasarkan harga purata harga pasaran RON95.

"Bagi 15 hari pertama Disember 2014, harga purata ini (dikira berdasarkan harga pasaran harian seperti dalam jadual) telah jatuh ke paras RM1.98 liter tanpa subsidi.

"Jika subsidi 30 sen seliter dikembalikan seperti yang dituntut oleh PKR, harga RON95 bagi dua minggu pertama secara purata telah jatuh ke paras RM1.68 seliter," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, dalam keadaan harga minyak mentah terus jatuh mendadak minggu ini dan dijangka terus jatuh sepanjang 2015, harga pasaran harian bagi tempoh 16 Disember 2014 hingga 31 Disember 2014 juga akan lebih rendah daripada RM1.90 seliter.

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan diminta tidak berdolak dalih untuk segera menurunkan harga RON95 kepada RM1.90 serta-merta.

Beliau mendakwa, jika harga RON95 yang diumumkan pada 31 Disember 2014 nanti lebih tinggi daripada RM1.90 seliter, kerajaan telah memanipulasi harga RON95 dan diesel untuk mendapatkan keuntungan melalui cukai minyak secara tersembunyi.

"Sehingga kini, tidak ada seorang pemimpin BN pun yang berani menafikan kenyataan saya sebelum ini bahawa rakyat telah terlebih bayar harga minyak yang lebih tinggi yang dianggarkan RM274 juta dalam tempoh 45 hari sejak 1 November 2014.

"Mengikut amalan biasa, jumlah ini dikembalikan oleh syarikat-syarikat minyak kepada kerajaan sebagai cukai tersembunyi," katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian PKR bahawa kerajaan perlu mengembalikan subsidi sekurang-kurangnya 30 sen seliter yang akan menyaksikan harga minyak RON95 dalam bulan Januari jatuh ke paras RM1.60 seliter.

Katanya, penurunan itu selari dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia dan harga petrol diesel lebih rendah yang dinikmati oleh negara lain.