KUALA LUMPUR - Suasana di dewan Stadium Tasik Titiwangsa bertukar gamat dan meriah sebaik sahaja peserta-peserta masyarakat pribumi dari dalam dan luar negara bergabung tenaga memukau tetamu dengan aksi serta seni tari mengikut rentak muzik.
   
Pengunjung terpaku melihat gerak langkah persembahan mereka sehingga ada segelintir hadirin tertarik untuk bangun dan meniru pergerakan persembahan itu.
   
Setiap peserta tampil dengan identiti etnik masing-masing menerusi pakaian tradisi dan aksesori tersendiri semasa persembahan tersebut.
   
Festival Kesenian Orang Asli dan Pribumi Antarabangsa (FKOAP) yang julung kali diadakan di ibu negara, memberi peluang kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa melihat dengan lebih dekat tentang kepelbagaian dan keunikan masyarakat Orang Asli dan pribumi sedunia.
   
Program empat hari berakhir semalam menghimpunkan 347 peserta masyarakat Orang Asli dan pribumi dari lapan negara iaitu Malaysia, New Zealand, Ghana, Kanada, China, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Antara persembahan tarian paling memikat dan bertenaga pada festival itu ialah tarian tradisional Afrika oleh kumpulan 'Nkrabea Dance Ensemble' dari Accra, Ghana.
   
Persembahan oleh tujuh peserta yang hanya menggunakan gendang sebagai kekuatan persembahan mereka turut menarik perhatian apabila cuba berkomunikasi bersama pengunjung untuk mengajak menari bersama.
   
"Saya amat menghargai usaha ini. Festival seperti ini akan membantu kita memahami budaya dan bertemu kawan baharu serta mengenali antara satu sama lain. Ini adalah mengenai membina persahabatan dan bertukar-tukar budaya," kata seorang daripada peserta Ghana, Emmanuel Yawson Tengey.
   
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi berkata festival yang menjadi platform dalam memartabatkan budaya masyarakat Orang Asli dan pribumi dari dalam dan luar negara itu bakal menjadi acara tahunan.
   
"Kami akan pastikan festival ini sentiasa dinanti-nantikan oleh pencinta seni dan budaya dari seluruh negara," katanya semasa pelancaran festival itu. - Bernama