SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata fakta yang sahih dan benar perlu didedahkan kepada masyarakat.

Musa yang berkongsi pendapatnya itu di laman Twitter peribadinya dan melampirkan sekali berita online Sinar Harian bertajuk ‘Hanif Omar tak nyanyuk’ menegaskan sudah menjadi tanggungjawab pegawai polis menjaga keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam.

Pendapatnya itu mendapat komen balas dari pengguna Twitter bernama Samshuri Arshad yang menyatakan semangat esprit de corps warga polis tetap bersama Tun (Tun Hanif Omar).

Seorang lagi pengguna Twitter MarzaAhmad berkata, rakyat tetap menyokong Tan Sri Musa Hassan dan Tun Hanif.

Pada 6 September lalu, Tun Hanif mendedahkan DAP tidak pernah membantu melawan komunis di Malaysia semasa zaman darurat dulu.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai panelis dalam Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara.

Dakwaan Tun Hanif mendapat maklum balas dari Lim Kit Siang yang tertanya-tanya sama ada Tun Hanif sudah nyanyuk atau mempunyai agenda tersembunyi untuk memburuk-burukkan beliau dan DAP.

Semalam, Tun Hanif sekali lagi menegaskan dakwaannya, cadangan DAP memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian tetap diingatinya dan beliau menjelaskan maklumat itu diperoleh daripada hasil laporan risikan yang dihantar kepadanya.

Menurutnya, ketika itu beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (Mageran) bermula 16 Mei 1969.

Katanya, laporan tersebut diserahkan kepadanya selepas seorang pemimpin DAP didakwa mengusulkan cadangan tersebut di Eropah selepas berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hanif Omar tak nyanyuk]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kit Siang beri Hanif tempoh dua hari]