CYBERJAYA - Walaupun tiada angka jumlah hutang semasa bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pas dan Gagasan Sejahtera yakin mampu merealisasikan tawaran untuk menghapuskan hutang berkenaan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia boleh direalisasikan jika tidak berlaku ketirisan dalam pemerintahan negara.

“Walaupun kita tiada angka buat masa ini berkaitan berapa jumlah hutang peminjam PTPTN, namun kita yakin tawaran kita boleh dilaksanakan kerana pemerintahan yang kita pimpin tak ada ketirisan.

“Apabila tiada ketirisan, peruntukan pasti akan cukup, sama juga dengan penyelewengan yang telah berlaku sejak 40 tahun lalu. Peruntukan yang sepatutnya RM2 bilion jadi RM4 bilion, yang RM6 bilion jadi RM12 bilion, ini yang sebabkan ketirisan.

“Kemudian kita akan menangani hasil-hasil tanpa cukai, hasil cukai dan sebagainya,” katanya pada sidang media Syarahan Perdana dan Pelancaran Manifesto Gagasan Sejahtera, sebentar tadi.

Antara 20 tawaran manifesto yang dilancarkan itu, tawaran kedua menyebut untuk melupuskan hutang pinjaman peminjam PTPTN sedia ada sebagai inisiatif permulaan ke arah memberikan pendidikan percuma.

Abdul Hadi juga mengambil contoh beberapa negeri yang pernah ditadbir parti itu bagi menjelaskan keadaan pentadbiran dianggap telus dan bebas ketirisan.

“Mengambil contoh sepanjang pemerintahan Pas di beberapa negeri sebelum ini, walaupun peruntukan negeri disekat oleh kerajaan pusat, namun masih boleh mentadbir dengan baik.

“Malah di Terengganu dalam tempoh satu penggal kita memerintah, mampu untuk mansuhkan tol dan menjana pendapatan negeri kerana tiada ketirisan berlaku,” katanya.