Anwar tempelak pihak bicara ketuanan Melayu, tapi biar tanah rizab terlepas

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu menyelar tindakan segelintir pihak yang sering membicarakan soal ketuanan Melayu, namun pada masa sama membiarkan tanah rizab Melayu terlepas ke tangan pihak luar.
Beliau menzahirkan kekecewaan apabila isu berkenaan sering dijadikan modal politik bagi memancing sokongan dan undi ketika pilihan raya, sedangkan pembelaan terhadap orang Melayu sepatutnya dibuktikan melalui tindakan dan dasar yang telus.
"Jangan hanya melaungkan Bumiputera atau Melayu, hidup Melayu apabila dekat pilihan raya, tetapi selepas mendapat kuasa, kontrak Melayu dikaut, projek Melayu dikaut dan harta Melayu juga dikaut.
"Saya ingin bertanya kepada parti-parti yang sering berbicara soal ketuanan Melayu, bilakah kali terakhir kamu mewujudkan tanah rizab Melayu? Yang saya tahu, tanah rizab Melayu banyak yang terlepas kepada orang lain,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra PMX Bersama Belia Johor sempena Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Johor 2026 di Taman Melor, Tampoi di sini pada Sabtu.
Hadir sama Menteri Besar Selangor yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan sebagai bukti kesungguhan, buat julung kali dalam sejarah selepas merdeka, kerajaan pimpinannya mengisytiharkan 20.23 hektar kawasan strategik di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu.
Projek Bandar Malaysia yang terletak di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, Sungai Besi dijangka memiliki nilai pembangunan kasar sebanyak RM140 bilion.
Perdana Menteri berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, tanpa menafikan hak kaum lain untuk turut menikmati pembangunan negara.
"Projek-projek masyarakat Cina kita tidak halang, supaya orang Cina dan India merasakan mereka ada tempat untuk dibangunkan. Tetapi janganlah kita gunakan slogan ketuanan Melayu hanya untuk kepentingan politik," katanya.
Anwar berkata, agenda memperkasakan usahawan Bumiputera terus menjadi keutamaan melalui pelbagai inisiatif konkrit, termasuk pelancaran program Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) SParK 2026: Transformasi Niaga, hari ini.
Menerusi program itu, PUNB menyasarkan kelulusan pembiayaan hingga RM2.25 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030, bagi memperkukuh pembangunan usahawan Bumiputera.
Perdana Menteri berkata, dasar membantu orang Melayu tidak perlu menjadi slogan yang dilaungkan secara berlebihan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
