Yayasan IOI, MicFront anjur pengucapan awam terbesar negara himpun 1,000 peserta

Dari kiri; Penolong Pengurus Besar IOI Mall Damansara, Edmund Tan; Pengarah Eksekutif IOI Foundation, Datin Joanne Wong; Pengasas Bersama MicFront, Dr Jolynn Ch’ng dan Pengasas Bersama MicFront, Mas Mahathir ketika merasmikan "Let’s Celebrate Malaysia: Largest Public Speaking Event” di IOI Mal Damansara di sini pada Sabtu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Dari kiri; Penolong Pengurus Besar IOI Mall Damansara, Edmund Tan; Pengarah Eksekutif IOI Foundation, Datin Joanne Wong; Pengasas Bersama MicFront, Dr Jolynn Ch’ng dan Pengasas Bersama MicFront, Mas Mahathir ketika merasmikan "Let’s Celebrate Malaysia: Largest Public Speaking Event” di IOI Mal Damansara di sini pada Sabtu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

PETALING JAYA - Yayasan IOI dengan kerjasama MicFront Public Speaking (MicFront) menganjurkan acara pengucapan awam terbesar di negara ini, menghimpunkan lebih 1,000 peserta.

Berlangsung pada 4 dan 5 Julai di pusat beli-belah IOI Damansara, acara tersebut adalah percubaan rasmi penganjur untuk disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengasas Bersama MicFront, Mas Mahathir berkata, kolaborasi tersebut merupakan inisiatif pembinaan negara yang bertujuan memupuk keyakinan diri dan kepimpinan belia dengan memperkasakan peserta daripada pelbagai peringkat umur seawal lima hingga 18 tahun ke atas.

"Kami percaya impaknya bermula selepas program sebegini diadakan kerana peserta sudah ada tahap keyakinan diri yang tinggi dan tidak takut berinteraksi di hadapan khalayak ramai.

"Keyakinan diri itulah yang akan mendorong mereka menyertai pertandingan pengucapan awam yang lain. Jadi, pentingnya untuk peserta atasi rasa gugup dan takut.

"Saya harap Malaysia akan melahirkan lebih ramai lagi anak bangsa yang yakin diri dan boleh mengharumkan nama negara, bermula daripada usia muda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas majlis pelancaran acara pengucapan awam terbesar negara, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Yayasan IOI, Datin Joanne Wong; Penolong Pengurus Besar pusat beli-belah IOI Damansara, Edmund Tan dan Pengasas Bersama MicFront, Dr Jolynn Ch’ng.

Dalam majlis sama, anugerah acara pengucapan awam terbesar Malaysia itu turut disampaikan oleh Pengasas Malaysian Education Awards (MEA), Michelle Ha kepada Jolynn.

Artikel Berkaitan:

Peserta yang terdiri daripada orang awam dan wakil dari 17 cawangan MicFront di seluruh Lembah Klang menyampaikan ucapan bertemakan budaya, makanan, keindahan alam semula jadi serta wira-wira harian Malaysia, selari tema 'Let's Celebrate Malaysia'.

Program yang dijangka menarik kira-kira 2,000 pengunjung itu menyediakan platform berterusan kepada peserta untuk berucap di atas pentas.

Di samping itu, menggalakkan generasi muda Malaysia melihat pengucapan awam sebagai platform yang memberi nilai tambah sepanjang hayat.

Sementara itu, menurut Joanne, pihaknya mahu memperkasakan rakyat Malaysia daripada semua peringkat umur untuk berani menyuarakan pandangan dan meraikan negara bersama-sama menerusi kolaborasi dengan MicFront.

“Pengucapan awam bukan sekadar satu kemahiran, ia juga laluan ke arah membina keyakinan diri, kebolehan mengekspresikan idea dan semangat kenegaraan.

“Dengan sokongan dan peluang yang tepat, sesiapa sahaja mampu mempelajari kemahiran untuk tampil bersuara serta membawa perubahan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!