KKDW sasar kurangkan import makanan 50 peratus menjelang 2050

KOTA TINGGI – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan makanan sehingga 50 peratus menjelang tahun 2050 menerusi pelbagai inisiatif sekuriti makanan yang digerakkan agensi di bawah kementerian itu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu penting memandangkan negara kini mengimport makanan bernilai kira-kira RM80 bilion setahun.
Menurut beliau, KKDW melalui agensi seperti RISDA dan FELCRA telah melaksanakan pelbagai program sekuriti makanan sejak tiga tahun lalu bagi membantu meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.
"Matlamat kita adalah untuk membantu negara mengurangkan import makanan kepada 50 peratus daripada jumlah yang ada sekarang.
"Bagi tahun 2030, saya fikir kita boleh mengurangkan sekurang-kurangnya 15 peratus, meningkat kepada 30 peratus menjelang 2040 dan seterusnya mencapai pengurangan 50 peratus sebelum tahun 2050," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program RISDA Agromajestic Negeri Johor 2026 di Perkarangan Dataran Kejat, Bandar Tenggara, pada Sabtu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun sasaran itu bersifat jangka panjang, beliau yakin ia mampu dicapai berdasarkan kejayaan pelbagai program yang telah dilaksanakan.
Katanya, usaha berkenaan diselaraskan KKDW walaupun agensi di bawah kementerian itu bukan berada di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, selain mengambil kira peranannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sekuriti Makanan.
Mengulas strategi yang dilaksanakan, beliau berkata, tanah-tanah terbiar atau kurang dimanfaatkan milik agensi akan dioptimumkan untuk projek pertanian berimpak tinggi dan penternakan.
"Tanah-tanah yang kurang atau tidak dimanfaatkan sepenuhnya akan ditukar untuk pelbagai projek pertanian bagi meningkatkan keterjaminan makanan serta projek ternakan.
"Usaha ini dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, FELCRA serta agensi pertanian lain di bawah kerajaan negeri dan KKDW," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

