KKDW perkasa RISDA pacu ekonomi desa, keterjaminan makanan negara

Ahmad Zahid (empat dari kiri), Manndzri (lima dari kiri) bersama tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Program RISDA Agromajestic Negeri Johor 2026 di Dataran Kejat, Bandar Tenggara pada Sabtu.
Ahmad Zahid (empat dari kiri), Manndzri (lima dari kiri) bersama tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Program RISDA Agromajestic Negeri Johor 2026 di Dataran Kejat, Bandar Tenggara pada Sabtu.
A
A
A

KOTA TINGGI – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkukuh peranan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi membangunkan ekonomi desa yang lebih pelbagai, produktif dan berdaya tahan, selaras agenda memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, RISDA kini tidak lagi tertumpu kepada pembangunan pekebun kecil getah semata-mata, sebaliknya berperanan membina ekosistem ekonomi desa melalui sektor agromakanan, teknologi dan keusahawanan.

"Menerusi Program RISDA Agromajestic, KKDW mahu menggabungkan tanah, kemahiran, teknologi dan komuniti desa supaya lebih 508,000 pekebun kecil serta 8.17 juta penduduk luar bandar dapat berperanan sebagai pengeluar dan usahawan yang menyumbang kepada rantaian bekalan makanan negara.

"Sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12, RISDA telah mengurus Program Agromakanan bernilai lebih RM108.59 juta melibatkan 4,500 projek dan 6,815 peserta di seluruh negara, sekali gus mencatatkan hasil jualan melebihi RM160 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program RISDA Agromajestic Negeri Johor 2026 di Dataran Kejat, Bandar Tenggara pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Suriani Ahmad, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.

Sementara itu, Manndzri berkata, program RISDA Agromajestic Negeri Johor 2026, menghimpunkan pelbagai pengisian mengikut keperluan peserta termasuk pameran produk, jualan usahawan, khidmat nasihat pertanian, inovasi teknologi serta jaringan perniagaan.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan turut mencerminkan komitmen RISDA dalam memastikan pembangunan desa terus memberi manfaat kepada masyarakat.

"Melalui program ini, peserta bukan sahaja dapat mempamerkan hasil dan produk mereka, malah berpeluang memperluaskan rangkaian pasaran serta meneroka peluang baharu dalam sektor ekonomi desa.

Artikel Berkaitan:

"Program Agromakanan RISDA juga membantu pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan melalui aktiviti tanaman, ternakan dan akuakultur," ujarnya.

Ahli Parlimen Tenggara itu berkata, RISDA Johor menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM11.65 juta tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program termasuk penanaman getah, peningkatan produktiviti dan pemasaran, peningkatan ekonomi serta Program Agromakanan.

Katanya, daripada jumlah itu, RM192,000 diperuntukkan khusus bagi Program Agromakanan dan Program Khas di negeri ini.

Menurut beliau, sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dari 2021 hingga 2025, Program Agromakanan RISDA di Johor melibatkan 341 projek dengan peruntukan RM7.19 juta, memberi manfaat kepada 508 peserta serta merekodkan hasil jualan RM7.68 juta.

"Di peringkat negara pula, sebanyak 4,500 projek telah dilaksanakan melibatkan 6,815 peserta dengan jumlah peruntukan RM108.59 juta dan hasil jualan melebihi RM160.23 juta," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!