'Kita mahu Jho Low segera dihadapkan ke mahkamah Malaysia' - Pembangkang

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

PASIR MAS – Pembangkang menegaskan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low perlu segera dihadapkan ke mahkamah di Malaysia bagi menjawab dakwaan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa mengira sebarang tindakan yang mungkin diambil oleh Amerika Syarikat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Malaysia mempunyai sistem perundangan sendiri dan tidak seharusnya terikat dengan sebarang keputusan Amerika Syarikat berhubung Jho Low.

Menurut beliau, tindakan Jho Low didakwa memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan proses perundangan di Malaysia perlu diteruskan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

“Kita ada undang-undang kita sendiri, apa yang dibuat oleh Amerika Syarikat itu urusan mereka dan negara kita sangat terkesan dengan tindakan Jho Low serta kesannya besar kepada ekonomi negara.

“Kami masih mendesak Jho Low mesti dihadapkan ke mahkamah atas tindakannya, soal dia bersalah atau tidak biarlah diputuskan oleh mahkamah, tetapi dia perlu dihadapkan ke mahkamah terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan bahawa Jho Low didakwa bakal menerima pengampunan di Amerika Syarikat.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan Amerika Syarikat dalam isu memberi pengampunan atau tidak, tidak berkaitan dengan negara ini.

“Isu pokoknya ialah Jho Low didakwa melanggar undang-undang di Malaysia.

“Kalau mereka mahu melepaskannya kerana merasakan dia tidak melakukan kesalahan di negara mereka, itu tidak ada kaitan dengan kita, yang menjadi isu ialah dana negara kita dan undang-undang negara kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berharap pihak berkuasa mempercepatkan tindakan bagi membawa pulang Jho Low ke Malaysia melalui proses ekstradisi supaya beliau dapat dihadapkan ke mahkamah.

“Kita harap pihak berkuasa segera mengambil tindakan, termasuk usaha ekstradisi bagi membawa pulang Jho Low ke Malaysia untuk dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Tuan Ibrahim sebelum itu merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pasir Mas yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang juga Yang Dipertua Pas Pasir Mas.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!