KUALA LUMPUR – Sehingga kini, tidak ada pihak yang tampil untuk mencabar perintah mahkamah Malaysia berkenaan hak untuk menjual kapal layar mewah ‘Equanimity’ yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata, Jho Low sepatutnya mencabar perintah mahkamah jika kapal itu adalah miliknya dan tidak boleh dijual.

"Saya hairan kalau mereka mempertikaikan bahawa kapal ini milik seseorang, kalau Jho Low rasa kapal ini miliknya, sepatutnya mereka cabar di mahkamah,” katanya menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang mahu kepastian bahawa kapal itu adalah milik Jho Low pada persidangan  Dewan Rakyat hari ini.

Hanipa berkata memorandum maklumat berkenaan penjualan kapal mewah itu juga jelas menyatakan  bahawa tidak ada mana-mana pihak yang telah membantah tindakan jualan itu.  

Beliau menjelaskan, dengan perintah mahkamah itu, segala urusan pendaftaran di Pulau Cayman di mana ‘Equanimity’ didaftarkan telah tamat manakala pembida yang berjaya untuk membeli kapal itu nanti akan mendapat hak milik sah terhadapnya.

‘Equanimity yang dilaporkan dibeli dengan dana 1MDB yang diselewengkan telah disita kerajaan  Malaysia pada 7 Ogos lepas dan pada 19 Oktober Mahkamah Tinggi mengisytiharkan ia adalah milik kerajaan Malaysia dan 1MDB.

Mahkamah Admiralti pada 26 Oktober meluluskan terma dan syarat bagi proses bidaan kapal itu dari 29 Oktober hingga 28 November ini.

Dalam pada itu, Hanipa juga menggesa Jho Low supaya balik ke Malaysia untuk menghadapi  tuduhan dan mempertahankan dirinya.

Tambahnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk membawa balik Jho Low harus  berhubung terus dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menjawab soalan asal Teh Kok Lim (PH-Taiping), Hanipa berkata nilai jualan ‘Equanimity’ semasa proses penjualan tidak dapat didedahkan selaras dengan perintah mahkamah.

Semua tawaran untuk membelinya adalah dibuat terus kepada sherif mahkamah dan sherif mahkamah diberi kuasa untuk menerima bidaan tertinggi yang dibuat, katanya. – Bernama