KUANTAN - Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan pemimpin di negara ini agar sentiasa membimbing golongan belia supaya mereka mampu menjadi pelapis pemimpin negara serta insan yang berupaya menyumbang kepada kesejahteraan dan kemajuan negara.

Baginda bertitah ia penting kerana golongan itu pada masa kini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang lebih getir berikutan era modenisasi berbanding generasi terdahulu.

"Saya mahu melihat golongan belia sekarang menjadi lebih berjaya berbanding dahulu kerana tiada maknanya kita memerintah negara tetapi golongan belianya bercelaru.

"Oleh itu, pemimpin belia perlu dibimbing agar mereka menjadi insan berguna dan mampu menyumbang kepada negara baik dari segi ekonomi mahupun sosial," titah baginda merasmikan Majlis Malam Anugerah Belia Peringkat Negeri Pahang 2017 di sini malam tadi.

Hadir pada majlis itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Tengku Abdullah bertitah, pendekatan menzahirkan penghargaan atas kecemerlangan dan sumbangan golongan belia kepada masyarakat juga perlu disemarakkan bagi membakar semangat mereka untuk terus berusaha.

"Seingat saya dahulu ada anugerah pingat Hang Tuah yang diberikan kepada belia di negara ini, saya bangga apabila melihat mereka menerima anugerah tersebut.

"Sekarang tiada lagi, adakah kita lupa tentang hal ini dan kenapa kita tidak berusaha untuk menghidupkannya kembali?," titahnya.

Baginda bertitah golongan belia di negara ini juga seharusnya berasa bertuah kerana tidak dipinggirkan oleh kerajaan apabila diberikan wadah untuk mencorakkan masa depan negara pasca 2020 melalui wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, penerima Anugerah Belia Kategori Khas Diraja Mohd Nasuha Shamsuddin, 25, yang merupakan pendaki Gunung Everest termuda negara melahirkan rasa terharu dengan penghargaan yang diberikan oleh kerajaan negeri Pahang.

Anak ketiga daripada enam adik-beradik yang berasal dari Felda Tersang Tiga, Raub itu berkata  penghargaan itu akan menjadi pemangkin kepada beliau untuk melakar lebih banyak kejayaan bagi mengharumkan nama negeri Pahang khasnya.-Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu generasi baharu terus menjadi pemangkin yang membawa Malaysia ke peringkat lebih tinggi.
  • KUALA LUMPUR - Lebih 1,000 belia termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) mendaftar sebagai pengundi baharu menerusi Program Pendidikan Pengundi 'Generasi Penggerak Demokrasi' yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak Februari lepas.
  • KUALA LUMPUR - Pendidikan bertaraf antarabangsa dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi merupakan aspirasi popular golongan belia semasa dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Parlimen Setiawangsa.
  • PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya mempelbagaikan barisan kepimpinannya dengan komposisi kaum dan etnik bagi memayungi belia di negara ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.