3,164 sekolah kurang murid dikesan setakat November 2025 - KPM

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan (KPM) mengesan sebanyak 3,164 sekolah kurang murid (SKM) dengan jumlah kurang daripada 150 orang di seluruh negara setakat November tahun lepas.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Beliau berkata, kementerian mengambil beberapa pendekatan bagi menangani isu berkenaan termasuk memindahkan lokasi sekolah terlibat ke kawasan berlainan.
Bagaimanapun katanya, pendekatan itu dilaksanakan bergantung pada sesuatu situasi dan langkah mengekalkan sekolah akan turut diambil selain menggabungkan murid dari tahun yang berbeza ke dalam satu kelas.
"Walaupun kurang murid 50 atau 30 orang, (sekiranya) kawasan tersebut memang ada keperluan, KPM akan memastikan akses pendidikan (berterusan) di mana-mana sahaja,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah SJKC Central Site, di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Sementara itu, Kah Woh berkata, SJKC Central Site yang pada asalnya terletak di Ladang Gomali dekat daerah Segamat, dipindahkan ke Taman Ekoflora di sini, berikutan jumlah murid yang kini hanya tinggal lima orang.
Beliau berkata, sekolah berkenaan akan ditutup dan murid ditukarkan ke sekolah berdekatan setelah pembinaan sekolah baharu memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Kah Woh berkata, pembinaan sekolah baharu dengan kos RM20 juta menerusi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dijangka siap pada suku kedua 2027 dan mampu menempatkan sebanyak 1,250 murid.
Sementara itu, Nie Ching berkata, langkah yang diambil KPM bagi menangani isu SKM perlu diberi pujian kerana secara tidak langsung akan memberikan manfaat kepada lebih ramai murid sekiranya sesuatu sekolah baharu dibina.
"Saya percaya bahawa jika lebih banyak sekolah baharu dibina di kawasan berpenduduk yang besar, akan memberikan kemudahan dan akses (pendidikan) termasuk di kawasan perumahan baharu,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Malaysia mengesan sebanyak 3,164 sekolah kurang murid di seluruh negara setakat November tahun lepas
- Jumlah sekolah kurang murid melibatkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
- Beberapa pendekatan diambil termasuk memindahkan lokasi sekolah dan menggabungkan murid dari tahun yang berbeza dalam satu kelas
- SJKC Central Site dipindahkan ke Taman Ekoflora berikutan jumlah murid hanya tinggal lima orang
- Pembinaan sekolah baharu dengan kos RM20 juta dijangka siap pada suku kedua 2027 dan akan menempatkan sebanyak 1,250 murid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
