Tiga ujian terbesar sempena Ramadan

SHAH ALAM – Ramadan tahun ini menyaksikan tiga ujian besar yang dihadapi umat Islam di negara ini, melibatkan aspek makanan, ibadat dan pemeliharaan budaya dalam melakukan kebaikan.
Pendakwah bebas, Datuk Kazim Elias berkata, ujian pertama yang semakin ketara ialah berkaitan pemakanan apabila amalan berpuasa tidak selari dengan konsep sebenar Ramadan kerana wujud kecenderungan makan secara berlebihan dan pembaziran makanan.
“Kita lihat laporan-laporan berkaitan jumlah sisa makanan yang meningkat setiap kali Ramadan. Itu benda yang menakutkan kita.
“Sepatutnya Ramadan adalah bulan berjimat cermat tetapi menjadi bulan bermewah-mewahan. Lari daripada konsep asal ibadah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program ceramah bertajuk Tuhan Sedang Menguji Kita di Studio F, Karangkraf pada Sabtu.
Ujar Kazim, ujian kedua melibatkan penghayatan ibadat apabila terdapat sebahagian masyarakat yang lebih menumpukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri walaupun Ramadan belum bermula.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap ujian ketiga iaitu penghakisan budaya baik yang sinonim dengan Ramadan, termasuk amalan berbuka puasa secara berjemaah, moreh, silaturahim dan semangat kebersamaan dalam komuniti.

“Ramadan dahulu menghimpunkan satu kampung. Hari ini, ada orang yang memilih bercuti, tidak pulang ke kampung dan kurang berinteraksi dengan keluarga serta masyarakat.
“Ini sesuatu yang perlu diberi perhatian. Kalau boleh wujudkan balik budaya ibadat dan semangat kasih sayang pada bulan Ramadan,” ujarnya.

Dalam pada itu, penceramah bebas, Mohd Zarifi Mohamad Daud menyifatkan penganjuran program Tuhan Sedang Menguji Kita sebagai usaha positif dalam mendekatkan masyarakat dengan ilmu serta menghidupkan suasana Ramadan secara lebih menyeluruh.
Mohd Zarifi turut berkongsikan pengalaman peribadinya apabila diuji dengan penyakit strok pada Ramadan tahun lalu.
“Ujian itu saya kira antara paling besar dalam hidup. Saya lumpuh separuh badan (akibat strok) sekitar hampir sebulan.
“Di situ saya belajar banyak perkara termasuk erti sabar, redha dan berikhtiar mencari rawatan serta tawakkal kepada ALLAH SWT.
“Saya gembira kerana dapat kongsikan pengalaman saya dan diharap ia menjadi perkongsian baik kepada para penonton,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

