PUTRAJAYA - Gerakan Srikandi Malaysia  mendesak Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan kerajaan untuk menghalang   penganjuran pesta arak Oktoberfest 2018 yang akan berlangsung esok.

Peneraju utama Gerakan Srikandi Malaysia, Wan Asshima Kamaruddin berkata, penganjuran acara tahunan Oktoberfest ini akan menyebabkan gejala sosial terus meningkat dan mencemarkan kedudukan agama Islam dan integriti orang Melayu.

"Kami Gerakan Srikandi Malaysia mendesak agar Menteri Wilayah Persekutuan dan menteri-menteri berkaitan untuk mengambil tindakan segera dan sewajarnya supaya gejala sosial tidak akan terus memusnahkan masa depan negara.

"Oktoberfest ini berasal dari Jerman, dan tidak ada kena mengena dengan budaya dan sejarah negara kita, jadi tidak ada kewajaran untuk menyambutnya, kedatangan acara ini ibarat anasir luar yang menganggu gugat dan merosakkan imej Islam," katanya ketika ditemui di pekarangan Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Gerakan Srikandi Malaysia juga turut menyerahkan memorandum bantahan pesta arak 2018 kepada wakil Kementerian Wilayah Persekutuan.

Lebih membimbangkan katanya, festival maksiat ini diadakan di lokasi awam iaitu pusat beli belah Mid Valley yang mudah akses akan menarik minat anak muda Melayu Islam secara amnya.

"Kami mendesak agar penganjur memahami majoriti penduduk di sini Melayu Islam sebanyak 65 peratus dan kedatangan festival ini ternyata menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Bahkan dalam poster festival arak ini juga tidak menyatakan sekatan ke atas orang Melayu Islam untuk menyertainya," ujarnya.

Oktoberfest 2018 yang akan berlangsung esok  di Mid Valley dengan pengisian festival makanan, hiburan, muzik dan arak.

Pada tahun 2017 , penganjur membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat pengusaha arak (breweries) untuk memenuhi citarasa pengunjung.

Penyertaan adalah dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, England, Scotland, Belgium, Germany, Denmark, Norway, Japan, Thailand dan Vietnam.