• Bajet 2013 Bajet 2013
1 /

KOTA BHARU - Kelantan hari ini membentangkan Bajet 2013 dengan memasukkan hasil royalti yang kini dituntut sebanyak RM200 juta, sebagai perolehan Kerajaan Negeri.

Pembentangan  bajet yang bertemakan “Bajet Negeri Berkebajikan” dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa  yang mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Husam ketika mengumumkan perkara itu berkata, Bajet 2013 merupakan belanjawan lebihan di mana perolehan yang dianggarkan bakal diperolehi berjumlah RM535.95 juta iaitu lebihan sebanyak RM45.83 juta.

“Dalam Belanjawan ini kerajaan memutuskan untuk memasukkan RM200 juta sebagai pendapatan daripada Petroleum. Sebelum ini, ianya diletakkan sebagai ‘token’ sebanyak RM10.

“Ini bertujuan melonjakkan lagi harapan kerajaan dan rakyat Kelantan untuk mendapatkan hak mereka serta meletakkan tiang pacak bahawa Kelantan berhak terhadap pengeluaran gas khususnya di Telaga Kamelia yang memulakan pengeluaran Mac 2013,” katanya.

Husam berkata, medan ini sepenuhnya berada dalam Block 301 yang paling hampir dengan pantai Kelantan dan pengeluaran tahunannya sebanyak 110,000 kaki padu gas setahun.

Untuk rekod, tuntutan royalti yang berbilion kini sedang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

Dalam pada itu, Husam berkata, hasil tanah merupakan penyumbang kedua terbesar dengan jumlah RM124.47 juta atau 21.40 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil.

“Hasil tanah meliputi pungutan cukai Tanah sebanyak RM37.49 juta, premium Tanah RM45.0 juta, Bayaran Pendaftaran RM6.0 juta serta Bayaran Gadaian sebanyak RM3.84 juta,” katanya.