PUTRAJAYA - Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (BOK SPRM), Datuk Bahri Mohammad Zin kembali melapor diri di ibu pejabat SPRM, hari ini.

Beliau melapor diri selepas dipanggil Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai semula suruhanjaya itu.

Katanya, tawaran itu diterima sebagai amanah dan tanggungjawab kepada negara.

“Saya diminta membantu menyambung semula penyiasatan kertas siasatan kes SRC International (SRC) Sdn Bhd yang sudah selesai sebelum saya memohon untuk bersara awal,” katanya.

Sebelum ini, Bahri memegang jawatan Pengarah BOK sejak 16 Jun 2014 dan bersara awal berkuat kuasa 30 Disember 2016 berikutan keengganan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengeluarkan izin mendakwa ke atas sasaran kes berkenaan.

Bahri memainkan peranan utama dalam siasatan kes SRC, bekas anak syarikat 1MDB, memilih bersara awal walaupun boleh terus bertugas 2 tahun lagi.

Tiga tahun lalu, ketika polis mengganggu siasatan SPRM terhadap SRC International, Bahri berikrar untuk mencari dalang yang mengganggunya sehingga ke lubang cacing.

Ketika itu, pegawainya disiasat dan pejabat mereka diserbu polis, malah timbalan pendakwa raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi turut ditahan.

Bahri, bersama-sama seorang lagi pegawai kanan, Rohaizad Yaakob, kemudian dipindahkan dari SPRM ke Pejabat Perdana Menteri - sama seperti bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.