• Popstar bakal cungkil bakat nyanyian kanak-kanak Barisan peserta Popstar yang bakal memulakan saingan Ahad ini. - Foto ihsan Astro
1 /

PROGRAM realiti terbaru terbitan Astro Ceria, Popstar bakal menyaksikan lapan peserta kanak-kanak berusia antara 10 hingga 15 tahun bersaing sebelum salah seorang daripada mereka dinobatkan sebagai juara.
 
Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin, program tersebut bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru sekali gus mencari pelapis penyanyi tanah air.
 
"Kami melihat bakat terpendam kanak-kanak perlu digilap dan diketengahkan. Popstar adalah rancangan realiti untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang nyanyian sekali gus mencari pelapis penyanyi tanah air.
 
"Selain berhibur, mereka akan dilatih dan didedahkan dengan pelbagai genre muzik malah sebagai platform untuk mereka mengenali karakter serta membina keyakinan diri," katanya pada Majlis Pelancaran dan sidang media Program Ceria Popstar, Isnin lalu.
 
Popstar bakal bersiaran pada setiap Ahad jam 11.30 pagi di saluran 611 bermula 5 Mei ini.
 
Ketika ditanya soal pertembungan tarikh tersebut dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), beliau menjelaskan, "ini adalah sebahagian daripada strategi kami kerana pada hari tersebut, ibu bapa tidak ada di rumah, jadi anak-anak akan menguasai TV," katanya
 
Sementara itu, pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil yang bertindak sebagai penaung program itu menyifatkan dirinya sebagai payung kepada peserta tersebut.
 
"Anak-anak ini masih rapuh dari segi emosi terutama apabila dikritik. Boleh dikatakan saya sebagai pembela yang akan memayungi mereka.
 
"Saya juga akan memberi motivasi buat mereka selain terlibat daripada segi idea dan konsep kerana kita memerlukan pelapis," katanya.
 
Menjawab pertanyaan media, Pak Nil akui pihaknya tidak mahu masuk campur dalam soal pemilihan lagu jika dan jika peserta memilih untuk mendendangkan lagu-lagu orang dewasa tetapi pemantauan akan tetap dibuat.
 
Program 10 episod itu bakal dikendalikan pengacara terkenal, Nabil Ahmad sementara penyanyi terkenal, Mawi dan Nurul Wahab bakal bertindak sebagai juri tetap.
 
Lima peserta solo dan tiga peserta berkumpulan itu bakal memulakan saingan dan diuji dari segi kemantapan vokal masing-masing.
 
Lapan peserta tersebut ialah Trisyia, Razmil, Wafiy, Anis dan Akmar, Vision Mate, Hairul & Leen dan Flower Queen.