Tidak tuntut nafkah, Adira faham keadaan Datuk Red

Adira, Datuk Red
Adira, Datuk Red
A
A
A

PENYANYI terkenal, Adira Suhaimi bersetuju tidak akan membuat sebarang tuntutan daripada Datuk Seri Adnan Abu kerana tidak mahu menyusahkan bekas suaminya itu.

Ketika ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini pada Rabu, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi berkata, dia memahami keadaan Adnan, 42, yang ketika ini berdepan dengan pelbagai kesukaran.

"Tidak mahu apa-apa, sebab saya faham, dia (Adnan) tengah 'down', tapi saya sentiasa doakan, dia dimurahkan rezeki.

"Saya percaya, jika dia dilimpahi rezeki, Insya-ALLAH, ada bahagian untuk anak-anak kami," kata anak kelahiran Ranau, Sabah berusia 33 tahun ini.

Pelantun lagu 'Ilusi' itu turut mengucapkan kesyukuran kerana isu rumah tangganya telah selesai.

Dia juga tidak suka membuka aib atau berkelahi dengan bekas suami semata-mata mahukan perpisahan kerana mereka masih perlu membesarkan anak bersama-sama.

"Saya suka ambil pendekatan tidak mahu bergaduh bagi memudahkan kami untuk berhubung dan berkomunikasi.

"Saya juga tidak menghalang Adnan menjenguk mahu pun meluangkan masa untuk bermalam bersama anak-anak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ketika dikerumuni pihak media, Adnan enggan mengulas mengenai perpisahan tersebut dan menolak semua pertanyaan dengan lembut.

"Saya janji akan datang balik," katanya ketika menuju ke motosikal dan beredar daripada mahkamah.

Semasa prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini pada Rabu, Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar merekodkan lafaz talak satu oleh Adnan yang lebih dikenali sebagai Datuk Red terhadap Adira, pada jam 9.39 pagi, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Ketika prosiding dijalankan, ahli perniagaan itu kelihatan tunduk sayu sementara, Adira dilihat tenang.

Sementara itu, peguam syarie, Nor Saidah Zakaria yang mewakili penyanyi ini berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai dengan syarat anak guamnya tidak menuntut nafkah tertunggak, edah dan mutaah daripada Adnan.

Dalam prosiding ini, Adnan diwakili peguam syarienya, Muhammad Akmal Amzan.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan penceraian kerana mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinannya.

Bagaimanapun, Adnan tidak bersetuju dengan permohonan dibuat isteri keduanya itu dan ingin menyelamatkan rumah tangga mereka.

Untuk rekod, Adira memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah ini pada 1 April 2019 namun menarik semula permohonan itu bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.

Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun manakala perkahwinan Adnan bersama isteri pertama iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim, mereka dikurniakan lima cahaya mata.

Adnan juga pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun namun bercerai selepas lima tahun bersama dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!