Sheriff terus cemerlang, catat kutipan RM16.3 juta

Filem Sheriff berjaya raih kutipan RM16.3 juta selepas empat hari tayangan dan satu hari tayangan awal sejak 18 April lalu.
Filem Sheriff berjaya raih kutipan RM16.3 juta selepas empat hari tayangan dan satu hari tayangan awal sejak 18 April lalu.
A
A
A

FILEM Sheriff terus menjadi pilihan penonton dan sudah berjaya meraih kutipan RM16.3 juta selepas empat hari tayangan dan satu hari tayangan awal sejak 18 April lalu.

Sheriff arahan Syafiq Yusof, membariskan pelakon hebat Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Dato Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan dan ramai lagi serta membabitkan dua penerbit terkemuka iaitu Skop Productions bersama Astro Shaw.

Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif Bersama Sheriff, Datuk Yusof Haslam berkata, pihaknya bersyukur dengan sambutan positif itu tetapi merasakan masih terlalu awal meletakkan harapan tinggi.

“Syukur alhamdulillah atas sambutan memberangsangkan filem Sheriff.

"Pihak kami bersama barisan pelakon ada mengunjungi pawagam-pawagam di sekitar Lembah Klang pada hujung minggu lalu, dan rasa amat teruja serta terharu melihat reaksi luar jangkaan penonton daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang.

"Meskipun rakan-rakan media serta peminat mula berteka-teki mengenai sejauh mana kutipan Sheriff, namun masih terlalu awal untuk meletak harapan tinggi dan kami sentiasa bersyukur dengan momentum positif ini.

"Terima kasih kepada semua atas sokongan terhadap filem ini," katanya pada Isnin.

Sheriff mengisahkan Nazri, seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa.

Artikel Berkaitan:

Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas daripada cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.

Dalam masa yang sama, Sheriff, seorang anggota dari Jabatan Integriti telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.

Temui barisan pelakon Sheriff di pawagam-pawagam terpilih sekitar Lembah Klang pada 27 dan 28 April.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28