Kaka Azraff selesa terbang solo

Kaka melihat perjalanan kariernya lebih mudah dan luas selepas tidak lagi bernaung di bawah mana-mana label muzik.
Kaka melihat perjalanan kariernya lebih mudah dan luas selepas tidak lagi bernaung di bawah mana-mana label muzik.
A
A
A

PENYANYI Kaka Azraff melihat perjalanan kariernya lebih mudah dan luas selepas tidak lagi bernaung di bawah mana-mana label muzik.

Jelas Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, insiden yang berlaku sebelum ini membuatkan namanya lebih dikenali dan dia yakin dengan jalan yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT.

"Selepas insiden tahun lepas, saya nampak jalan saya dalam industri lebih luas, mudah dan saya nampak banyak peluang.

"Bukan nak kata label (syarikat rakaman) sebelum ini tidak buat apa-apa, mereka telah lakukan tugas mereka.

"Cuma rezeki ALLAH itu luas, DIA beri ruang yang lebih besar buat saya, rasa boleh bergerak sendiri tanpa bergantung pada mana-mana label," ujarnya.

Tambah anak saudara kepada Ratu Rock, Ella itu, dia sendiri sudah lama mengimpikan untuk bergerak sendiri dan menganggap permintaannya itu telah dikabulkan.

"Bila urus karier sendiri, saya boleh urus jadual sendiri. Saya ada masa untuk karier dan anak-anak. Saya juga sayang karier saya dan tidak mahu terburu-buru tampil dengan projek baru.

"Biarlah lebih kualiti berbanding kuantiti," jelas bintang berusia 35 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas penglibatannya dalam program The Hardest Singing Show, Kaka berkata, pada awalnya dia tidak yakin untuk menyertai rancangan terbitan Astro itu.

Bagaimanapun selepas diberi penerangan, dia tertarik dengan konsep program ini yang mengutamakan kreativiti.

Kaka bersama barisan penyanyi lain yang akan menyertai program The Hardest Singing Show bermula 12 Mei ini.
Kaka bersama barisan penyanyi lain yang akan menyertai program The Hardest Singing Show bermula 12 Mei ini.

"Kalau utamakan vokal memang saya balik dulu, tetapi sebab program ini berlainan, maka saya bersetuju untuk sertai.

"Dalam masa sama, saya sertai program ini sebab anak-anak dan melihat program ini sebagai satu platform yang baik dan sesuai dengan misi saya untuk kembangkan kerjaya," katanya.

Selain Kaka, antara lain yang menyertai program tersebut adalah Datin Alyah, Zizi Kirana, Ayda Jebat, Stacy, Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza, serta kumpulan penyanyi wanita popular Malaysia, De Fam.

Syawal syahdu

Sementara itu, sebelum perbualan berakhir, Kaka ditanya mengenai sambutan Syawal tahun ini memandangkan kehilangan dua wanita penting dalam tempoh kurang setahun.

Tidak dapat menahan sebak di dada, Kaka berkata, tahun ini sepatutnya menjadi Syawal pertama tanpa bonda, Redida Aziz, tetapi kesedihan menjadi berganda apabila kakaknya, Noor Afida menyusul pergi secara mengejut empat hari sebelum umat Islam menyambut puasa.

“Sepatutnya raya tahun ini tanpa mama, tetapi kemudian bertukar menjadi tanpa mama dan kakak.

“Sebenarnya saya langsung tidak mahu sambut raya tahun ini, tetapi saya kuat kerana suami dan anak-anak. Begitu juga dengan empat anak arwah kakak.

“Kita bersedih takkan mereka kena lalui juga. Jadi saya paksa diri untuk meraikan Aidilfitri kerana anak-anak ini," katanya.

Kaka berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media program The Hardest Singing Show yang berlangsung di The Gardens Theatre, The Gardens Mall Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Dalam pada itu, Kaka memaklumkan, dia dan adik bongsunya kini membantu abang ipar mereka dalam membesarkan anak-anak arwah.

"Anak arwah yang paling tua berusia 14 tahun, kecil sekali tiga tahun. Abang ipar saya pula anak tunggal, jadi pada siapa lagi nak diharapkan selain saya dan adik.

"Anak-anaknya sekarang duduk dengan adik saya. Adik saya sendiri yang tawarkan diri untuk menjaga mereka. Jadi, kami berdua sama-sama tolong untuk besarkan anak-anak kakak," katanya.

Untuk rekod, ibu Kaka meninggal dunia pada 7 Mei 2023 manakala kakaknya yang juga anak kedua daripada empat orang adik beradik menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman pada 8 Mac lalu.