KATA pepatah, 'ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi', cukup sesuai ditujukan buat tokoh agama ini.

Masakan tidak, jika suatu masa dulu, bapanya adalah ulama terkenal dan juga da'e, kini anaknya pula bergelar imam serta mufti negara.

Ismail Musa Menk adalah anak kepada Maulana Musa Menk.

Beliau dilahirkan di Harare, Zimbabwe dan menamatkan pengajian pada Mazahirul Uloom Shahjahanpur di bawah Hazrat Shaikh Maulana Zakaria pada lewat 1950-an.

Pada peringkat awal pengajiannya, di kala usianya muda, beliau belajar bersama-sama bapanya seperti menghafaz al-Quran, mempelajari Bahasa Arab, Bahasa Urdu dan Mazhab Hanafi.

Pada masa sama, beliau menamatkan pengajian di Universiti Islam Madinah dalam bidang Syariah, mazhab keempat.

Beliau kemudiannya menyertai Iftah (Mufti) Jabatan Darul Uloom Kantaria di Gujarat, India dan lulus di bawah Mufti Ismail Barkodrah pada akhir tahun 1999.

Kini, beliau adalah imam di masjid terbesar di Harare, Zimbabwe sekali gus dipilih menjadi Mufti Zimbabwe.


Dakwah cara Mufti Menk

Peminat setia penceramah bebas yang juga imam dari masjid terbesar di Harare, Zimbabwe, Mufti Ismail Musa Menk atau Mufti Menk berkesempatan menemui tokoh agama itu melalui satu siri dakwahnya yang dianjurkan oleh Dakwah Corner  Publications dan Yayasan Ta'alim.

Siri dakwah itu yang dinamakan sebagai siri jelajah Mufti Menk in Kuala Lumpur (MMKL) 2014 telah berlangsung pada 21 Mac hingga 23 Mac lalu.

Terkandung lima siri syarahan di pelbagai lokasi, MMKL 2014 diadakan bertujuan untuk mengajak masyarakat mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Tambahnya, syarahan ini membantu masyarakat Islam dalam mendekatkan kecintaan terhadap ALLAH SWT ke dalam kehidupan mereka.

"Semuanya di tangan ALLAH SWT, tetapi sekurang-kurangnya kita mencuba.

"Diharapkan syarahan ini dapat memberi motivasi sekali gus mereka boleh merasai kehadiran ALLAH SWT dalam kehidupan seharian mereka," katanya kepada Zass.


Manfaat penggunaan teknologi

Memilih Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) sebagai lokasi pertama, Mufti Menk menyampaikan syarahan bertajuk Islam Back To Basics bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kesahihan dan kebenaran al-Quran dan sunnah di samping mendedahkan inti pati al-Quran dengan lebih mendalam.

Berpeluang menghadirinya, apa yang penulis boleh katakan, walaupun lebih sejam bersama-sama beliau mendengar setiap barisan ayatnya, sama sekali tidak menjemukan.

Walaupun syarahannya di dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya, audiens dapat memahami kerana bahasanya sangat jelas dan mudah difahami.

Tidak cukup dengan itu, gelagatnya pula yang humor ternyata menghiburkan.

Jadi, tidak mustahil, perkarangan Karangkraf dihadiri sehingga 5,000 audiens termasuk dari pelbagai negara seperti Singapura, Brunei dan Filipina.

Mengakui dunia kini amat mencabar terutamanya bagi umat Islam di seluruh dunia, Mufti Menk menyeru agar umat Islam haruslah segera bertaubat dan kembali semula ke jalan ALLAH SWT.

"Kita lebih banyak membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah.

"Contohnya, pada malam minggu ada sesetengah pihak lebih senang menghabiskan waktu berpeleseran di kelab malam, bukankah lebih baik jika kita meluangkan masa untuk melakukan sedikit ibadah untuk ALLAH SWT?," katanya.

Katanya lagi, ada sesetengah umat Islam kini sudah terpesong jauh dari landasan Islam yang sebenar.

"Islam ialah agama yang cukup mudah, tetapi kenapa kita perlu memikirkan perkara lain yang bertentangan dengan ajarannya?," tambahnya.

Jelasnya lagi, dengan kemajuan teknologi kini, beliau menggesa agar umat Islam memanfaatkannya sebagai salah satu alternatif dalam mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

"Al-Quran kini cukup senang didapati dengan hanya menekan sebuah telefon pintar yang mempunyai aplikasi.

"Tetapi, ramai dalam kalangan kita hari ini memberi alasan tidak mempunyai masa membuka al-Quran kerana sibuk dengan kerja dan tidak kurang juga merasakan diri mereka cukup jauh dengan Quran.

"Tidak kira di mana jua kita berada, al-Quran adalah pedoman hidup manusia yang bergelar Muslim dan jangan sesekali kita meninggalkannya," katanya.

Menurutnya, ramai yang mengaku diri adalah seorang Muslim tetapi telah meninggalkan ajaran yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW.

"Islam cukup indah dan senang tetapi mengapa perlu kita menyusahkan diri memikirkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya sehingga membelakangi ALLAH SWT.

"Saya agak terkilan dengan generasi muda yang hanya mahukan kegembiraan dan kepuasan sementara," katanya.


Teruskan berdoa

Dalam pada itu, Mufti Menk turut sempat memberi sedikit nasihat berhubung insiden kehilangan pesawat MAS MH370 sejak 8 Mac lalu.   

Jelasnya, sebagai seorang Muslim, perlu menerima setiap ketentuan yang telah ditetapkan ALLAH SWT dan harus melihat perkara ini dari sudut positif.

"Janganlah berputus asa, terus berdoa dan ingatlah ALLAH SWT lebih sayangkan mereka yang berada di dalam pesawat MAS MH370 melebihi kasih sayang ahli keluarganya," katanya.

Selain itu, beliau turut memberikan nasihat kepada rakyat Malaysia khususnya, supaya tidak mudah memberikan sebarang kenyataan tanpa pengesahan sahih kerana ia hanya akan menyebabkan ketidakstabilan emosi keluarga mangsa.

"Hentikan menyebar perkara yang belum mendapat pengesahan pihak berkuasa.

"Sebarang tuduhan tidak dibenarkan dalam Islam melainkan seseorang tersebut didapati benar-benar bersalah dengan bukti yang kukuh.

"Sebagai rakyat di negara ini, perpaduan perlu dikekalkan demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan negara harus berpanjangan dan terus memberikan sokongan padu kepada pihak yang menjalankan tugasan mereka mencari dan menyelamat pesawat berkenaan,” katanya.

Beliau turut meminta semua pihak supaya terus berdoa dan meminta pertolongan daripada ALLAH SWT.

"Terimalah ketentuan ALLAH SWT. Ini adalah untuk kita rasa sensitif dan kita kena sedar, perkara ini boleh jadi kepada sesiapa saja. Perkara sebegini, berlaku pada ramai orang," katanya yang cukup kagum dengan keharmonian yang dimiliki oleh Malaysia.