PERSONALITI yang mengisi segmen Viral minggu ini agak istimewa kerana gandingan di antara bapa dan anak kecil juga mampu  membina reputasi yang boleh dibanggakan di media sosial, khususnya di YouTube.

Bekas pekerja animasi, Daniel Hashimoto mengambil inisiatif ekspresikan keinginan anaknya, James yang berusia enam tahun untuk menjadi super hero, sama seperti filem animasi yang ditontonnya.

Dari situlah, timbul idea Daniel mahu menggunakan kebolehannya di dalam bidang animasi bagi merealisasikan impian anak kesayangannya itu.

Menggunakan akaun YouTube dengan nama Action Movie Kid, Daniel dan anaknya kini sudah pun mempunyai hampir 900,000 pengikut dengan kebanyakan video hasilannya ditonton jutaan kali.

Jika rata-rata YouTubers lain lebih cenderung melakukan review kecantikan atau permainan online bersama teman, namun situasi nyata berbeza dengan Daniel, yang menjadikan anaknya sendiri sebagai pelakon utama di dalam video animasi pendek itu.

Buat atas minat

Ternyata, video tersebut menjadi sensasi di internet hingga ada di antaranya sudah ditonton lebih 69 juta kali. Video berdurasi tiga minit bertajuk Action Movie Kid – Volume 01 itu dimuat naik Daniel lebih tiga tahun lalu.

Mengulas cetusan idea si bapa untuk membuat video yang terus viral itu, Daniel menerusi satu temu bual memberitahu, minat dalam dunia animasi memberi banyak kelebihan untuknya mebuat video seumpama itu.

“Anak saya seorang yang aktif dan begitu teruja dengan apa sahaja yang berkaitan super hero. Misalnya apa yang dia lihat di filem atau permainan online. Dia selalu berangan untuk jadi seperti apa yang ditontonnya.

“Jadi saya ambil peluang ibarat dream come true untuk James. Ternyata, ia sesuatu yang berbaloi sebab James pun sangat seronok bila dia kena beraksi sebagai super hero,” kata Daniel yang sebelum ini pernah terlibat di dalam pembikinan beberapa filem animasi popular dunia termasuk Kung Fu Panda 2.

Daniel juga mengakui terkejut apabila video itu mendapat tontonan lebih puluhan juta kerana apa yang dilakukan hanyalah untuk menzahirkan minat anaknya itu.

“Tiada idea untuk saya kata apa-apa bila video itu ditonton ramai. Rasa gembiralah sebab apa yang saya lakukan ini atas dasar minat dan pastinya, untuk gembirakan keluarga, lebih-lebih lagi melibatkan anak.

“Pada masa sama, saya pun teruja,” kongsi Daniel yang turut menambah, kreativitinya dalam penghasilan kesan khas itu turut membuka peluang baru buatnya.

“Ada syarikat permainan kanak-kanak telah menggunakan khidmat saya dalam melakukan kesan khas untuk iklan komersial mereka. Bagi saya, itu kesempatan yang bagus,” terangnya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BERGURAU zaman viral bahaya. Bak kata pepatah Melayu, rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Jika kita maksudkan tujuannya A tapi orang ingat B, orang lain pula mungkin fikir C dan ada juga pendapat lain fikir Z terus. Jadi itulah bahayanya gurau zaman viral ini.
  • BEBERAPA bulan lalu, bekas calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kelantan, Muhammad Fauzan Abd Rashid, 18, yang berbadan sasa menjadi buah mulut ramai dan mula menjadi viral di media sosial.
  • "HENTI sebarkan berita palsu itu," itu antara luahan cucu saudara Tan Sri SM Salim, Ellyna Ali berhubung viral yang sedang bertebaran berhubung kematian penyanyi legenda kesayangan ramai ini.
  • PELAWAK Jepun, Pikotaro yang menjadi sensasi internet melalui lagu 'Pen Pineapple Apple Pen' (PPAP) diiktiraf dalam Guineess World Records sebagai lagu paling pendek memasuki carta Billboard Hot 100, lapor AFP.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.