NAMPAKNYA cerita kekeliruan orang Barat berkenaan makanan masyarakat Asia masih berterusan.

Jika sebelum ini kecoh dengan rendang crispy, kali ini, personaliti terkenal Amerika Syarikat, Martha Stewart pula berhadapan kecaman apabila blog miliknya meletakkan gambar durian pada artikel yang memaparkan kegunaan jackfruit atau buah nangka.

Artikel berkenaan bertajuk 'Bagaimana mahu menggunakan buah nangka', yang memaparkan lima kegunaan buah nangka dalam masakan.

Kekeliruan itu mencetuskan perdebatan di laman sosial bagaimana ia boleh terjadi, kerana kata netizen, mencari gambar nangka bukanlah satu perkara yang sukar kerana gambar-gambarnya banyak terdapat menerusi carian Google.

Netizen juga mempersoalkan jika artikel itu sememangnya tentang nangka atau sebenarnya berkenaan buah durian.

April lalu, juri rancangan MasterChef UK, Gregg Wallace, mengkritik hidangan rendang yang dimasak seorang rakyat Malaysia,  Zaleha Kadir Olpin, sebagai tidak crispy atau rangup, yang membawa kepada penyingkirannya daripada rancangan itu, April lalu.- Astro Awani