Rompakan di lebuh raya Itali, RM1.9 juta lesap

ROM – Sekumpulan penyerang melarikan kira-kira €400,000 (lebih RM1.9 juta) dalam satu rompakan berani yang menyasarkan kenderaan membawa wang tunai di sebuah lebuh raya Itali pada Isnin.
Agensi Berita Jerman (DPA) melaporkan, suspek menghentikan aliran trafik dengan menyekat jalan menggunakan beberapa kenderaan sebelum melancarkan serangan pantas ke atas van perisai berkenaan.
Menurut pihak berkuasa, penyerang menggunakan bom asap dan menabur paku di atas jalan bagi memecahkan tayar kenderaan lain, selain melepaskan tembakan ke arah van membawa wang tunai itu.
Ketika pemandu dan pengawal masih berada di dalam kenderaan, suspek bertindak menggunakan bahan letupan untuk membuka van serta peti simpanannya, menurut agensi berita Itali, ANSA.
Kumpulan penjenayah itu kemudiannya melarikan diri bersama wang tunai berkenaan, dipercayai menggunakan kenderaan berkuasa tinggi.
Rompakan itu berlaku pada awal pagi di sebuah lebuh raya berhampiran Ortona, di wilayah Abruzzo, tengah Itali.
Siasatan awal mendapati tiada kecederaan serius dilaporkan, namun dua individu menerima rawatan di lokasi kejadian selepas terhidu asap.
Bahagian lebuh raya yang terjejas ditutup sementara bagi membolehkan kerja keselamatan dijalankan, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Polis melancarkan operasi memburu secara besar-besaran, namun setakat ini bilangan suspek yang terlibat masih belum dikenal pasti.
Ringkasan AI
- Sekumpulan penyerang melarikan kira-kira €400,000 dalam rompakan di lebuh raya Itali
- Suspek menghalang trafik dan menyerang van perisai yang membawa wang tunai
- Mereka menggunakan bom asap, paku untuk pecahkan tayar, dan tembakan untuk menghentikan van
- Bahan letupan digunakan untuk membuka van dan mengambil wang tunai
- Rompakan berlaku di lebuh raya berhampiran Ortona, Abruzzo, tidak ada kecederaan serius dilaporkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

