Indonesia capai tahap sara diri beras - Prabowo

Prabowo Subianto. Foto Bernama
Prabowo Subianto. Foto Bernama
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan bahawa Indonesia secara rasmi telah mencapai tahap sara diri beras setakat 31 Disember 2025.

Beliau berkata, pencapaian itu merupakan sasaran strategik nasional yang pada mulanya ditetapkan untuk dicapai dalam tempoh empat tahun, namun berjaya direalisasikan dalam tempoh setahun sahaja.

"Terima kasih atas kerja keras dan kerjasama antara semua pihak berkepentingan, sasaran ini dapat dicapai dengan lebih awal. Pada tahun 2025, kita tidak mengimport beras langsung. Sasaran empat tahun berjaya kita laksanakan dalam masa satu tahun,” katanya.

Prabowo mengumumkan perkara itu dalam ucapannya sebelum merasmikan sambutan Krismas Peringkat Kebangsaan di Arena Tenis Tertutup Senayan, di sini, Isnin malam.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk mengekalkan kemampanan tahap sara diri beras dengan memperkukuh sektor pertanian, meningkatkan kebajikan petani serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi menjamin keterjaminan makanan negara yang mampan.

Dalam semangat sambutan Krismas, ketua negara itu turut menyeru perpaduan nasional dan kerjasama daripada rakyat dalam merealisasikan aspirasi Indonesia menjadi sebuah negara maju, berdaulat dan makmur untuk seluruh rakyatnya.

"Saya sentiasa mahu mengajak semua orang, tanpa mengira perbezaan kita, tanpa mengira apa jua dosa yang mungkin kita lakukan pada masa lalu kerana kita hanyalah manusia yang penuh dengan kekurangan dan kesilapan. Namun sekarang, kita harus bekerjasama, kita mesti bersatu dan saling berganding bahu.

"Yang kuat harus membantu yang lemah, yang lemah harus bersatu dalam kerjasama. Bertandinglah secara adil, tetapi setelah persaingan tamat, bersatulah semula,” katanya. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan Indonesia mencapai tahap sara diri beras pada 31 Disember 2025
  • Pencapaian sasaran strategik nasional itu direalisasikan dalam tempoh setahun, lebih awal dari sasaran asal empat tahun
  • Pada tahun 2025, Indonesia tidak mengimport beras
  • Kerajaan komited untuk mengekalkan kemampanan tahap sara diri beras dengan memperkukuh sektor pertanian dan memanfaatkan teknologi
  • Prabowo menyeru perpaduan nasional dan kerjasama untuk merealisasikan aspirasi Indonesia menjadi negara maju dan makmur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!