BEKAS pemain kebangsaan, Mohd Nidzam Jamil telah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan AirAsia All Stars FC yang bakal membuat penampilan sulung pada Liga FAM musim ini.
   
Selain Mohd Nidzam, yang juga bekas pemain Selangor, kelab itu turut melantik bekas pemain antarabangsa, G Torairaju sebagai Pengarah Teknikal kelab itu.
   
"Mohd Nidzam memiliki keazaman dan pengetahuan teknikal sehingga dapat membantu membimbing pasukan SPA Putrajaya FC menjulang Piala Liga FAM pada 2012 serta tempat di suku akhir Piala FA pada tahun yang sama," kata kelab tersebut dalam kiriman di Facebooknya hari ini.
   
Sementara itu, Mohd Nidzam yang dihubungi Bernama bertekad untuk membantu kelab berkenaan memberi tentangan sengit kepada pasukan yang bertanding dalam Liga FAM musim ini.
   
Beliau mengakui sasaran layak ke Liga Perdana 2016 oleh pengurusan pasukan bukan satu tugas mudah namun berjanji akan membantu pasukan itu mencipta kejayaan dalam penampilan sulungnya.

"Saya berharap kita akan menjadi pesaing yang hebat kepada pasukan lain kerana kita semua tahu saingan Liga FAM tahun ini bukanlah mudah kerana jumlah pasukan bertanding semakin bertambah.
   
"Saya bagaimanapun yakin menerusi komitmen tinggi daripada pengurusan pasukan dan pemain sendiri, kita boleh mencipta sesuatu kejayaan pada musim ini," kata Mohd Nidzam.
   
Pasukan itu yang mendapat sokongan daripada syarikat penerbangan tambang murah AirAsia diundi dalam kumpulan B Liga FAM 2015 bersama lapan pasukan lain.
   
Mereka ialah Melaka United, Harimau Muda C, MOF FC, MISC-MIFA, Kedah United, Johor Darul Ta'zim III, Ipoh FA selain wakil kelab Lembah Klang, Young Fighters FC.
   
Sebanyak 10 pasukan bersaing dalam Kumpulan A iaitu Perlis; PBAPP FC dan Sungai Ara FC (kedua-duanya dari Pulau Pinang); Hanelang FC (Terengganu); Real Mulia FC, UKM FC dan Felcra FC (Kuala Lumpur); Megah Murni FC (Selangor); Penjara FC (Negeri Sembilan) dan wakil Pahang, Shahzan Muda FC. - Bernama