GEORGETOWN - Niat seorang pemilik pusat hiburan yang mahu meleraikan satu pergaduhan di hadapan premisnya, di Jalan Burma mengundang padah apabila dia mati ditikam di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa Keoh Thian Poh, 26, mengalami cedera parah selepas ditikam di bahagian belakang badan dan disahkan maut selepas tiga jam dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris berkata, hasil siasatan awal yang mendapati, mangsa rebah selepas ditikam salah seorang ahli kumpulan yang bergaduh di hadapan premisnya.

Menurutnya, mangsa ditikam ketika dalam keadaan kelam kabut semasa cuba meleraikan pergaduhan itu, namun semasa anggota polis tiba mayat mangsa sudah tiada di tempat kejadian.

“Sebaik menyedari kejadian itu, semua mereka lari meninggalkan mangsa bagaimanapun mangsa sudah dikejarkan ke hospital swasta berhampiran oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ismail berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Beliau berkata, pasukan forensik dan unit anjing pengesan turut dipanggil ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut dan setakat ini, tiada tangkapan dilakukan.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.