[VIDEO] 'Arwah jadikan mengaji al-Quran, solat sunat amalan' - Suami

A
A
A

POKOK SENA - Allahyarham Rosnah Ramli, 60, yang meninggal dunia selepas solat Maghrib berjemaah di Masjid Zahir pada Khamis menjadikan mengaji al-Quran setiap hari sebagai amalan semasa hayatnya.

Suaminya, Ishak Mat Saman, 65, berkata, isterinya sentiasa membaca al-Quran dan melakukan solat sunat.

Menurutnya, arwah isterinya yang merupakan surirumah akan melakukan solat tahajjud apabila terjaga dari tidur malam.

"Adakalanya arwah tidak dapat lena dan kerap terjaga pada malam, lalu dia mengisi masa dengan solat sunat tahajudd sebelum menguruskan cucu kami.

"Setiap hari, kami akan ke masjid berbeza sejak dahulu untuk beribadat kepada ALLAH SWT, dan pada hari kejadian kami solat Maghrib dan baca Yasin di Masjid Zahir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Keranji, mukim Telaga Mas di sini pada Jumaat.

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Ishak
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Ishak

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah wanita meninggal dunia selepas solat Maghrib

Menurutnya, isteri tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kelihatan sihat ketika mereka ke Masjid Zahir untuk menunaikan solat.

"Jadi, saya memang agak terkejut apabila dimaklumkan cucu bahawa nenek mereka rebah selepas baca Yasin.

"Pada mulanya, saya ingat tidak apa-apa memandangkan isteri ada sejarah penyakit sawan dan isteri ketika itu masih sedar, lalu saya kembali untuk meneruskan ibadat," katanya.

Bagaimanapun Ishak berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan isterinya telah meninggal dunia apabila kembali semula ke ruangan itu selepas selesai membaca doa.

Kata bapa kepada sembilan cahaya mata itu, dia sedih namun reda dengan kehilangan isteri tercinta secara mengejut.

"Apabila saya memandang muka arwah kali terakhir, wajah isteri amat suci dan bersih," katanya.

Jenazah Allahyarham Rosnah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Kautsar Telaga Mas pada Jumaat.
Jenazah Allahyarham Rosnah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Kautsar Telaga Mas pada Jumaat.

Sementara itu, Pegawai Media Masjid Negeri, Muhd Azam Abdullah berkata, jemaah wanita itu meninggal dunia di ruang solat utama Masjid Negeri Kedah, Masjid Zahir sebaik selesai membaca surah Yassin pada jam 8.25 malam.

Tambahnya, jemaah itu tiba-tiba rebah dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang datang membuat pemeriksaan terhadapnya.

Beliau berkata, wanita itu hadir ke masjid bersama suaminya sebelum menunaikan solat jemaah serta membaca surah Yasin bersama jemaah lain di masjid ini.

"Menurut jemaah di sebelahnya, arwah ada menunjukkan tanda tidak selesa sebelum tiba-tiba rebah di ruang solat utama wanita.

"Selepas itu, kami terus menghubungi talian kecemasan dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir mengesahkan dia sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya, mangsa bersama suaminya sering ke masjid ini untuk menunaikan solat jemaah.

"Suaminya juga kelihatan tenang reda dengan pemergian Arwah,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!