Jambatan dinaik taraf empat lorong dibuka 31 Ogos depan

Alexander (enam dari kiri) ketika turun padang di jambatan itu pada Jumaat.
Alexander (enam dari kiri) ketika turun padang di jambatan itu pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah di sini yang dinaik taraf daripada dua kepada empat lorong bakal dibuka kepada pengguna secara rasminya pada 31 Ogos depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setakat ini kerja-kerja naik taraf jambatan tersebut telah mencapai tahap 86 peratus.

Menurutnya, jambatan itu dijangka mampu menampung hingga kira-kira 10,000 kenderaan sehari.

"Berita baiknya difahamkan ia siap dengan sempurna dan ada penjimatan masa. Tahniah kepada kontraktor yang dilantik.

"Projek ini diluluskan bawah peruntukan pembangunan Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Kesebelas (RP3, RMKe-11) Tahun 2020.

"Kaedah perolehan projek ini adalah secara tender terbuka, pembinaan projek dimulakan pada 10 September 2020 dengan kos kontrak semasa berjumlah RM102 juta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas turun padang bagi meneliti kerja-kerja penyambungan segmental box girder (SBG) jambatan itu di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Alexander (tiga dari kiri) melakukan gimik kerja-kerja penyambungan di jambatan itu pada Jumaat.
Alexander (tiga dari kiri) melakukan gimik kerja-kerja penyambungan di jambatan itu pada Jumaat.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar dan Pembangunan), Datuk Zahrul Hakim Abdullah dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Datuk Hafizah Zakaria.

Ujar beliau, antara skop kerja utama projek adalah membina jambatan baharu bersebelahan jambatan sedia ada berukuran 655 meter (m) panjang dan 11.5m lebar, menaik taraf jalan tuju sepanjang 1.5km, menaik taraf dan membina sistem saliran, pemasangan lampu dan perabot jalan, pengambilan tanah dan pengalihan utitili.

Jelasnya, antara keistimewaan projek itu adalah 'decking system' daripada SBG sepanjang 200m yang digunakan pada rentang utama jambatan (span 4) tersebut merupakan antara yang terpanjang di Malaysia.

"Tahniah pada JKR kerana kebolehan dan kemampuan keseluruhan proses reka bentuk dilaksanakan sepenuhnya oleh tenaga kepakaran tempatan daripada JKR sendiri," tambah beliau.

Projek naik taraf jambatan daripada dua lorong kepada empat lorong adalah sebahagian daripada solusi untuk menyelesaikan isu 'bottle neck' serta kesesakan trafik di jambatan sedia ada terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!