Harimau mati di LPT: Kerajaan ambil kira kawasan rayau hidupan liar

Alexander (tiga dari kanan) menerima cenderamata sempena turun padang ke Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh pada Jumaat.
Alexander (tiga dari kanan) menerima cenderamata sempena turun padang ke Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - Kerajaan sudah mengambil kira kawasan rayau hidupan liar bagi setiap projek pembinaan jalan dan lebuh raya di negara ini bagi mengelakkan insiden membabitkan haiwan dan manusia.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sedemikian susulan kejadian harimau mati dilanggar kenderaan di Kilometer 50.8 (arah Kuala Lumpur) Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pada Khamis.

"Saya difahamkan bila sesuatu projek jalan dibina, lebih lagi di kawasan rayau memang mengambil kira bagaimana untuk mengelakkan kemungkinan binatang liar masuk ke kawasan jalan itu.

"Kes sebegini ada tapi jarang berlaku macam kemalangan di LPT itu. Saya dimaklumkan haiwan itu masuk dari arah timur ke laluan itu dan mungkin ada projek lain yang menyebabkan haiwan terbabit (terlepas) masuk.

"Memang ada pagar di sepanjang laluan, macam di kawasan kejadian sepatutnya ada pagar dan papan tanda... cuma mungkin berlaku kerosakan (pagar) atau dibuka untuk projek tertentu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau belang jantan mati dilanggar

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas turun padang bagi meneliti kerja-kerja penyambungan segmental box girder (SBG) di Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin mengesahkan kejadian seekor harimau jantan dewasa mati akibat dilanggar kenderaan di laluan terbabit.

Harimau jantan dianggarkan seberat 130 kilogram dan berusia empat tahun berdasarkan saiz tubuh haiwan itu dipercayai dari Hutan Simpan Bukit Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak-pihak berkaitan susulan kejadian tersebut selepas ditanya kemungkinan disebabkan projek yang dijalankan di kawasan berkenaan.

"Mungkin juga, tapi saya kena dapatkan dulu maklumat lengkap kerana setahu saya, kawasan itu memang ada pagar.

"Jadi, mungkin pagar itu dibuka atau dirosakkan akibat vandalisme atau berlaku perkara lain, jadi kena tunggu laporan terlebih dahulu," jelasnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai rungutan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang mendakwa laluan LPT menghala ke Bentong tidak mempunyai kemudahan lampu jalan mencukupi berbanding laluan menghala ke Kuala Lumpur, beliau memaklumkan perkara itu adalah tertakluk kepada perjanjian asal antara syarikat konsesi dan kerajaan.

"Mereka (syarikat konsesi) mempunyai obligasi dalam menyediakan kemudahan lampu jalan seperti di kawasan persimpangan bertingkat, susur masuk dan keluar serta kawasan rehat dan rawat.

"Bagaimanapun, kita akan lihat balik obligasi dan perjanjian antara syarikat konsesi dan kerajaan.

"Kalau patut tambah (lampu jalan) tetapi mereka tak buat, maka kita tengoklah apa tindakan boleh diambil," tambah beliau.

Dalam ciapan di aplikasi X pada Khamis, Young Syefura memberitahu sudah beberapa kali membangkitkan keperluan menyediakan lampu jalan di sepanjang lebuh raya Karak.

"Dah banyak kali saya bangkitkan dalam Parlimen kita nak lampu jalan di sepanjang highway Karak tu, kalau tengok dari terowong Genting Sempah ke Gombak terang benderang, tapi area Bentong gelap gelita.

"Dah la selekoh dan naik turun bukit. Yang bawa laju satu hal, tapi lampu jalan pun kita perlu!" katanya.

Kekecewaan itu disuarakan selepas kejadian membabitkan harimau yang mati selepas dilanggar kenderaan di lebuh raya berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!