ALOR SETAR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah menahan seorang lelaki kerana melakukan aktiviti jual beli burung pelbagai spesies melalui laman sosial Facebook 'Geng Jual Beli Burung Penduduk Kedah'.

Pengarah Perhilitan Kedah Mohamad Hafid Rohani berkata, hasil siasatan ke atas laman sosial tersebut, anggota penguat kuasa Perhilitan melakukan serbuan ke atas kediaman lelaki berusia 32 tahun itu di Kampung Sawa Kecil, Pendang petang tadi dan menemui 14 ekor burung pelbagai spesies.

"Sebanyak 12 ekor burung Mata Putih/Kelicap Kunyit (status dilindungi), seekor burung Serindit (status dilindungi) dan seekor burung Merbah Luris Leher (status dilindungi sepenuhnya) ditemui di kediaman tersebut," katanya menerusi satu kenyataan.

Mohamad Hafid berkata kejadian itu merupakan yang kedua dalam bulan ini, apabila seorang remaja juga turut ditahan pada 3 Jun lalu kerana memiliki sembilan burung pelbagai spesies antaranya burung ayam-ayam, lang sewah, burung sintar, dan burung daun.     

Sekiranya disabitkan kesalahan, lelaki tersebut boleh didakwa mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Dua warga Indonesia masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen ,di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menyimpan 247 ekor burung murai batu yang juga spesies hidupan liar dilindungi, minggu lalu.
  • KUALA TAHAN - Sebanyak 180 spesies burung ditemui sekumpulan 271 peserta program Taman Negara Bird Count 2017 yang bermula Jumaat lalu dan berakhir semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.