$entry.content.caption.value
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri tidak membenarkan bahan mentah silika dieksport keluar negara, sebaliknya pelabur dari luar dipelawa untuk membuat pelaburan negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, langkah itu bertujuan menjaga kepentingan rakyat tempatan kerana industri itu mampu menjana lebih 1,000 peluang pekerjaan jika ia dimajukan serta merangsang pembangunan industri hiliran berkaitan.
Menurutnya, tapak projek silika seluas 1,800 hektar di Setiu dan Marang itu terletak dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) dan bakal menjadi kawasan perindustrian berpusat pertama di dunia untuk sektor berkaitan silika.
“Projek ini akan dibangunkan oleh Terengganu Perindustrian Mineral Sdn Bhd (TIM) dengan kerjasama syarikat-syarikat antarabangsa dari Jepun, India, Perancis dan Belgium.
“Saya yakin pengeluaran silika bergred tinggi ini akan mendapat permintaan tinggi bukan hanya di dalam negara tetapi juga luar negara. Justeru, Kerajaan Negeri membuka peluang pelabur untuk datang ke negara ini bagi tujuan pelaburan. Namun tidak membenarkan bahan mentah silika tersebut dieksport ke luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Projek Silika dan Pelancaran Terengganu Kristal di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, kelmarin.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan dan pelancaran projek berkenaan.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan TIM, Tengku Sri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Toh Chin Yaw dan Ketua Pegawai Eksekutif TIM, N Surendren.





