SWCorp Kedah terima pengiktirafan MBOR

Tunku Shazuddin (tiga dari kanan) berkenan menyempurnakan penyerahan sijil MBOR kepada Nordin (kiri) sambil disaksikan Mohd Yusri (tiga dari kiri) dan Ahmad Husaini (kanan) pada Majlis Perasmian Fiesta 3R Kedah sempena Mai Singgah Alor Setar 2024 pada Sabtu.
Tunku Shazuddin (tiga dari kanan) berkenan menyempurnakan penyerahan sijil MBOR kepada Nordin (kiri) sambil disaksikan Mohd Yusri (tiga dari kiri) dan Ahmad Husaini (kanan) pada Majlis Perasmian Fiesta 3R Kedah sempena Mai Singgah Alor Setar 2024 pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah mencipta sejarah apabila menerima Anugerah Malaysia Book Of Records (MBOR) Program Fiesta 3R Kedah sempena Mai Singgah Alor Setar Tahun 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata, SWCorp Kedah menerima pengiktirafan atas kejayaan mengumpulkan kutipan minyak masak terpakai terbanyak pada 2023.

"Usaha gigih dan komitmen pelbagai pihak merangkumi agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk Kedah telah membawa kepada pengiktirafan MBOR itu.

"Pengiktirafan dalam kategori 'Largest Recyclable Cooking Oil Collected In A Year 2023' meletakkan nama SWCorp Kedah dalam MBOR," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Fiesta 3R Kedah sempena Mai Singgah Alor Setar 2024 pada Sabtu.

Sebelum itu, majlis ini disempurnakan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff di Mini Marina Cruise,Tongkang Yard.

Hadir sama, Pengarah SWCorp Kedah, Nordin Amat.

Tambah Ahmad Husaini, data keseluruhan kutipan minyak masak terpakai tahun 2023 merekodkan sebanyak 734,857 kilogram (kg).

Jelas beliau, kesemua minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan dengan kerjasama enam pengusaha minyak, agensi kerajaan, swasta, NGO, institut pengajian tinggi (IPT) dan 56 sekolah rendah dan menengah.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyifatkan, program terbabit selaras dengan usaha kerajaan dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke 12 iaitu pengeluaran dan penggunaan tenaga yang efisien bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

"Inisiatif ini membuka mata hati masyarakat bahawa sisa pepejal khususnya barangan kitar semula mempunyai nilai dan sekali gus memberi galakan untuk sama-sama menyumbang kepada kelestarian alam sekitar," katanya.

Kongsi Ahmad Husaini, SWCorp telah dan akan mengadakan pelbagai program kesedaran awam bagi meningkatkan kadar kitar semula di Malaysia dengan kadar 31.5 peratus pada 2021 diikuti 32.5 peratus pada 2022, 2023 (35 peratus), 2024 (37.5 peratus) dan 2025 (40 peratus).

Beliau berpandangan, usaha terbabit selaras dengan Dasar Kebersihan Negara (DKN) yang menekankan tiga (3) kluster iaitu kesedaran terhadap kebersihan, kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran.

Dalam perkembangan lain, katanya, Program Fiesta 3R Kedah merupakan satu program 3R yang berimpak tinggi dan pemangkin untuk membantu dan mendidik masyarakat untuk mempraktis dan membudayakan amalan 3R dalam kehidupan seharian.

Menurut beliau, program terbabit turut membantu pihak kerajaan dalam menjaga kebersihan persekitaran serta mengurangkan janaan sisa ke tapak pelupusan.

"Susulan itu, empat program kolaborasi yang telah berjaya dilaksanakan iaitu Program Drive Thru Fabrik Terpakai, Program Drive Thru Trash To Cash, Program Jom Jual Minyak Masak Terpakai dan Program Fun Run Lights & Recycle bermula dari Khamis hingga Jumaat," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata, Program Mai Singgah Alor Setar Tahun 2024 bertujuan memperkenalkan Bandaraya Alor Setar sebagai tempat pelancongan yang mempunyai keunikan warisan dan sejarah yang tersembunyi.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sentiasa berusaha untuk mencapai visi dalam menjadi sebuah agensi penyelarasan dan pengurusan pihak berkuasa tempatan yang unggul di Malaysia dan mencapai objektif di bawah Sustainable Development Goals (SDG).

Tambah Mohd Yusri, MBAS juga telah mendapat Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard (2024-2026) Peringkat Kebangsaan pada 29 April 2024 yang lepas.

"Selaras itu,program-program kolaborasi dan agensi terus dilaksanakan tahun ini ke arah menjadikan pentadbiran Alor Setar lebih bersih, indah,sejahtera dan berkonsepkan kelestarian serta kitar semula," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!