'Rumah hanyut, kenderaan tenggelam'

Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Perak mencatatkan trend penurunan dengan 341 daripada 110 buah keluarga masih ditempatkan di 10 PPS. - Foto ihsan APM
Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Perak mencatatkan trend penurunan dengan 341 daripada 110 buah keluarga masih ditempatkan di 10 PPS. - Foto ihsan APM
A
A
A

KUALA KANGSAR - Banjir kilat yang berlaku di tiga daerah di Perak, bermula malam Khamis turut menyebabkan sebuah rumah di Kampung Jelutong, Bukit Gantang di sini, dihanyutkan arus deras selain 12 kenderaan ditenggelami air.

Peniaga herba dan kosmetik, Alias Awang, 56, berkata, dia kerugian kira-kira RM80,000 selepas rumahnya di tepi Sungai Bukit Gantang, musnah dan hilang dilanda arus kira-kira jam 2.30 pagi Jumaat.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di Pulau Pinang atas urusan memulakan perniagaan di negeri itu.

"Sekarang ni, saya tak ada apa-apalah... apapun tak ada. Duit, pakaian, peralatan rumah ataupun aset-aset saya untuk buat persediaan perniagaan di Pulau Pinang semuanya hilang. Maknanya saya kosong sekarang, memang tak ada apa-apa," katanya kepada Awani pada Sabtu.

Seorang lagi mangsa, Syaidatul Roraniza Abdul Aziz, 35, berkata, dia sekeluarga mengalami kerugian besar apabila tiga kereta dan lapan motosikal ditenggelami banjir.

Dia dan suami Mohamad Zaini Taharim, 52, yang memiliki perniagaan mencuci turut terjejas sumber pendapatan selepas peralatan kerja mereka ditenggelami air dalam kejadian sekitar jam 9.30 malam itu.

"Kejadian berlaku sangat cepat. Anak beritahu air masuk bilik. Bila kami keluar ke pintu hadapan, tengok kereta, motor, peralatan kerja habis dah tenggelam, memang tak dapat nak bawa lari naik ke daratlah sebab air dah paras pinggang," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang melawat mangsa memberi jaminan akan membantu kira-kira 150 keluarga yang terjejas di kawasannya itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain bantuan awal RM500 untuk setiap keluarga, pihaknya juga akan melihat keperluan lain yang diperlukan, termasuk membina rumah baharu.

Dalam pada itu, jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Perak berkata, jumlah mangsa banjir di tiga daerah terbabit mencatatkan trend penurunan dengan 341 daripada 110 buah keluarga masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 12 tengah hari Sabtu.

Menurutnya, mangsa banjir berkurang di daerah Hilir Perak dan Larut Matang dan Selama, namun jumlahnya masih kekal di Kuala Kangsar.

Katanya, pada jam 8 pagi tadi, terdapat 529 mangsa daripada 163 keluarga.

"Di Taiping terdapat lima PPS dibuka merangkumi 164 mangsa daripada 52 keluarga. Hilir Perak pula hanya satu PPS dengan 46 mangsa daripada 12 keluarga.

"Manakala Kuala Kangsar dengan empat PPS membabitkan 131 mangsa daripada 46 keluarga," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, terdapat tiga daerah terjejas banjir di negeri ini.

Kawasan yang terjejas membabitkan Hilir Perak di Batu 9 Jalan Changkat Jong.

Taiping di Kampung Sungai Sungai Baru, Kampung Dato Sagor, Kampung Teluk Kertang, Kampung Temerlok, Kampung Nibong, Kampung Batu Hampar, Kampung Matang Gelugor, Kampung Matang Pasir.

Dan Kuala Kangsar di Kampung Periang, Kampung Temong, Kampung Jias Kota Lama Kiri dan Kampung Talang. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!