KUALA TERENGGANU - Sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (TCCCI) akan memperkenalkan tempat menarik, makanan tradisional dan budaya peranakan Cina  kepada pelancong.
   
Pengerusi TCCCI, Datuk Low Kian Chuan berkata, antara tempat yang akan ditonjolkan ialah kawasan Kampung Cina di bandar raya ini serta Kampung Tiruk iaitu perkampungan yang didiami masyarakat Cina sejak sekian lama.
   
"Kampung Tiruk didiami orang Cina, tetapi mengamalkan cara hidup seperti orang Melayu di mana ada antara mereka boleh membaca dan menulis tulisan jawi," katanya kepada sidang media mengenai perasmian 'TCCCI Tourism Resource Development Fund' sempena TMT 2013.
   
Beliau berkata antara makanan masyarakat Cina Terengganu yang akan diperkenalkan ialah roti paung dan pulut lepa.
   
Pada masa yang sama, Low berharap kerajaan menyediakan penerbangan terus Singapura-Terengganu bagi menarik pelancong dari negara tersebut. - Bernama