KUALA TERENGGANU - Sebut sahaja Pantai Batu Burok di Kuala Terengganu, pastinya ia menjadi destinasi ‘wajib singgah’ bukan hanya kepada pengunjung luar Terengganu, malah anak kelahiran negeri ini juga apabila pulang bercuti pada musim perayaan ini.

Dengan pelbagai kemudahan infrastruktur serba lengkap yang tersedia di pusat peranginan berkenaan, ia menjadi nilai tambah dan tarikan kepada orang ramai untuk berehat dan berkelah sambil menghirup udara segar bersama keluarga serta rakan-rakan.

Selain itu, beberapa kereta kuda yang dihias indah turut menjadi tarikan utama pengunjung untuk bersiar-siar dengan kadar sewa yang sederhana dikenakan oleh pengusaha, termasuk diberikan peluang untuk mengabadikan gambar kenangan.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, pantai peranginan itu dipenuhi dengan kehadiran pelancong dalam dan luar yang mengambil peluang ketika pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing di negeri ini.

Bagi Rosli Razak, 50, dari Hulu Langat, Selangor, kesempatan pulang ke kampung isteri di Marang lazimnya akan dimanfaatkan mereka sekeluarga untuk beriadah dan juga melawat sekitar Kuala Terengganu termasuk Pantai Batu Burok  di Kuala Terengganu.

“Setiap tahun memang pantai ini akan jadi tempat yang wajib bagi kami sekeluarga untuk datang. Sejak kecil anak-anak sering dibawa ke sini, sebab itu setiap kali pulang ke kampung isteri, anak-anak memang minta membawa mereka ke sini.

“Sekarang dengan adanya kereta kuda berhias, suasana menjadi lebih meriah di pantai ini,” kata bapa empat anak ini.

Manakala seorang lagi pengunjung, Norhaida Mat Noor, 26, dari Bentong, Pahang berkata, kesempatan beraya di rumah abangnya di Batu Rakit, Kuala Terengganu, dia turut meluangkan masa membawa anak-anak ke Pantai Batu Burok.

“Kami mengambil peluang singgah di pantai ini seketika untuk berehat sambil menghayati keindahan alam. Sebab pantai ini memang menjadi sebutan bagi orang luar. Walaupun pernah datang ke sini, tetapi telah banyak perubahan berlaku.

“Antara alasan utama kami tetap datang ialah kerana pantainya bersih,” kata ibu tiga anak yang mempunyai ramai bapa dan ibu saudara yang tinggal di sekitar Kuala Terengganu ini.