MARANG - Pemuda berasal dari Bristol, England, Mohammad Kareef Daniel Abdullah, 25, yang memeluk Islam sejak Januari 2013 mengakui kini lebih bersedia menghadapi cabaran berpuasa pada Ramadan kali ini.

Dia yang lebih selesa dengan panggilan Mat Dan dan fasih berbahasa Melayu dialek Terengganu ketika ditemui Sinar Harian mengakui, tidak larat dan hanya sempat berpuasa penuh beberapa hari ketika Ramadan pada dua tahun sebelum ini.

Namun, sepanjang seminggu ini Mat Dan memberitahu, masih belum meninggalkan puasa dan berazam untuk mengekalkan keadaan ini sehingga Ramadan berakhir.

“Bab makanan saya tiada masalah... cuma dahaga, kebetulan di pulau (Kapas) panas tetapi saya akan berbuat sesuatu pekerjaan bagi mengisi aktiviti saya agar masa cepat berlalu.

“Kalau banyak duduk diam, rasa (badan) lagi penat,” katanya.

Mat Dan yang menggemari ketupat goreng dan kurma ketika berbuka berkata, ibadah puasanya juga akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar menjadi lebih baik.

“Saya masuk Islam tiada paksaan pun dari mana-mana sebab saya suka tinggal di Terengganu dan bergaul dengan rakan-rakan Melayu. Semasa saya menyatakan hasrat hendak masuk Islam, merekalah yang bantu saya.

“Ketika menyatakan perkara itu kepada keluarga saya di England, mereka juga menerimanya dengan hati terbuka dan sering datang melawat saya di sini,” katanya yang telah lima tahun berada di negara ini dan tinggal di Pulau Kapas, dekat sini.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, dia juga akan terus mendalami ilmu agama Islam secara lebih mendalam dan menyerahkan soal jodohnya kepada ALLAH.