KUALA NERUS - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan membina sebuah taman rakyat di Pantai Peranginan Teluk Ketapang, di Seberang Takir yang dianggarkan menelan kos RM2 juta.

Datuk Bandar MBKT Mohd Kamil Othman berkata, ketika ini pelan serta reka bentuk taman rakyat berkenaan telah disiapkan.

"Taman itu akan dibangunkan dalam dua fasa dengan kira-kira RM1 juta bagi setiap fasa pembinaannya. Fasa pertama akan dimulakan dalam masa terdekat ini.

"Tujuan pembinaan taman rakyat di pantai itu adalah bagi memberi kemudahan dan keselesaan beriadah kepada pengunjung ke pantai berkenaan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Menurutnya antara tarikan yang bakal diwujudkan ialah tempat rehat, taman rekreasi serta sistem pencahayaan berwarna-warni yang diharap menjadi tarikan kepada pengunjung. - Bernama