KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu bakal memperkenalkan konsep bazar keluarga dan pelancongan di Taman Shahbandar di sini bermula tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.  

Beliau berkata lokasi taman itu yang stategik mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat terutama semasa bulan puasa dengan kewujudan bazar Ramadan dan pelbagai gerai jualan.

Katanya kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) komited untuk membangunkan kawasan di tengah pusat bandar raya ini sebagai pusat rekreasi dan beriadah yang utama di negeri ini.

"Beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada orang ramai untuk berbuka puasa bersama keluarga dengan memperkenalkan konsep bazar keluarga dan pelancongan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata antara kemudahan yang dikenal pasti ialah menambah baik laluan masuk untuk pembeli singgah di bazar yang pada masa ini kelihatan agak sesak sehinggakan ada yang mengambil keputusan untuk tidak membeli makanan di situ.

Ahmad Razif berkata bermula tahun depan, kerja penambahbaikan di kawasan itu akan dilaksanakan termasuk membina tempat khas bagi keluarga dan orang ramai berbuka puasa dengan makanan yang dibeli dari bazar berhampiran.

"Kita lihat lokasi ini amat sesuai untuk beriadah bersama keluarga, mereka dapat membeli makanan di bazar Ramadan serta makan di wakaf (pondok) dan kawasan sekitarnya.

"Selepas berbuka mereka juga terus boleh mengerjakan solat maghrib seterusnya solat tarawih bersama anggota keluarga mereka di kawasan berhampiran," katanya. - Bernama