KUALA TERENGGANU – Batik-Khat yang diperkenalkan pada Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) bakal menjadi khazanah penting negara memandangkan ia adalah satu gabungan kesenian yang baharu di rantau Asia Tenggara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Batik-Khat menampilkan hasil seni unik yang menggabungkan tradisi membuat batik Terengganu menggunakan motif tulisan jawi.

Menurutnya, gabungan hasil seni khat dengan batik adalah inovasi baru dalam seni khat dan ia jarang dilakukan di mana-mana negara sekalipun di Nusantara.

“Saya merakamkan tahniah kepada Taman Tamadun Islam (TTI) kerana memperkenalkan suatu yang baru bagi mengkomersialkan lagi produk yang dihasilkan daripada sumber asas khat ini.

“Langkah ini akan menjadikan ia sebahagian daripada khazanah penting negara suatu hari nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian TIIAF 2013 di Dewan Konvensyen, TTI, semalam.

Beliau berkata, dengan usaha mengkomersialkan lagi produk yang dihasilkan daripada sumber asas khat, ia secara tidak langsung menjadi tarikan kepada peminat seni dari seluruh dunia untuk melancong ke negeri ini, sekali gus menyemarakkan industri pelancongan tanah air.

Selain itu, Jamil Khir berkata, pihaknya menyokong penuh hasrat Kerajaan Negeri Terengganu bersama Pusat Penyelidikan Sejarah, Kesenian dan Kebudayaan Islam Dunia (IRCICA) dari Turki yang ingin membina Institut Kaligrafi Antarabangsa Terengganu atau IKIAT di TTI, hasil kesinambungan kejayaan penganjuran TIIAF bagi memastikan hasil warisan seni Islam ini terpelihara dan diurus dengan baik.

“Insya-ALLAH, dengan usaha dan komitmen bersungguh-sungguh, ia akan dimakbulkan ALLAH SWT. Sebagai wakil kerajaan Pusat, saya berharap festival ini akan memberi manfaat dalam usaha memperkasa ilmu kesenian kaligrafi.

“Kerajaan akan terus memberi komitmen terhadap perlaksanaan program tahunan ini untuk kebaikan seluruh rakyat,” katanya.

TIIAF 2013 kali ketiga diadakan dan kali kedua di peringkat antarabangsa yang menampilkan pertandingan seni khat peringkat antarabangsa dan kebangsaan yang disertai penggiat kaligrafi yang berpengalaman dan pakar kaligrafi dari dalam dan luar
negara.

Terdapat dua kategori dipertandingkan bagi peringkat kebangsaan iaitu kategori siap (kanvas, kayu dan logam) dan kategori spontan (terbuka, sekolah menengah dan sekolah rendah).

Tahun ini, Taman Tamadun Islam Management Sdn Bhd (TTIMSB) berusaha membawa program ini ke tahap lebih tinggi di mana pertandingan seni khat peringkat kebangsaan yang sebelum ini terhad kepada peserta rantau Asia, kini dibuka kepada peserta seluruh dunia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil alih pengurusan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Seksyen 21, di sini berikutan kegagalan kerajaan Selangor menguruskannya dengan baik.
  • JERLUN - Kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Pida 3 dan Pida 3 ½ di sini merayu agar Syarikat Air Darulaman (Sada) mengambil langkah lebih drastik untuk menangani masalah bekalan air di kawasan mereka.